DOUGLAS (kiri) bersama Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Amirsham A Aziz (kanan) pada POC 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
DOUGLAS (kiri) bersama Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Amirsham A Aziz (kanan) pada POC 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kerajaan sedia memperuntukkan geran RM250 juta dalam menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran oleokimia dan produk makanan serta kesihatan sebagai rangsangan untuk pertumbuhan sihat industri minyak sawit tempatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, geran sebanyak RM4.5 juta akan disediakan untuk kumpulan pekebun-pekebun kecil dan syarikat perladangan bagi memperoleh perkakasan dan mesin untuk digunakan dalam proses pengendalian operasi.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah sejajar dengan usaha kerajaan memudahkan pembangunan industri minyak sawit dengan menyediakan geran untuk projek khusus dalam tempoh lima tahun bermula pada tahun ini sehingga 2020.

Katanya, industri minyak sawit adalah antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, termasuk mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor pertanian.

“Sehingga kini, industri berkenaan berjaya untuk menyediakan pekerjaan langsung kepada lebih satu juta orang termasuk 600,000 pekebun kecil.

“Malah, pada tahun lalu Malaysia menghasilkan 19.96 juta tan minyak sawit mentah (MSM) dari kawasan seluas 5.64 juta hektar, mengeksport 26.2 juta tan produk minyak sawit dan menjana pendapatan eksport bernilai sekitar RM63.2 bilion,” katanya ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Minyak Sawit 2016 (POC 2016) di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Zahid berkata, sektor minyak sawit turut menyumbang sebanyak 8.1 peratus daripada eksport barangan negara dan daripada segi amalan pertanian dan alam sekitar, sebanyak 25.3 peratus kawasan bertanam di Malaysia disahkan mematuhi pensijilan industri sukarela, Meja Bulat dan Minyak Sawit Lestari.

“Malah, kita turut melaksanakan Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari (MSPO) pada tahun lalu bagi menggalakkan pengeluaran minyak sawit secara mampan dalam pasaran semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:25 AM