ANAK Tawau yang membanggakan keluarganya.
ANAK Tawau yang membanggakan keluarganya.
EWAL.
EWAL.
NUHA.
NUHA.
ADEL.
ADEL.
CELOTEH Faizal, Zizan & Jihan memang kelakar.
CELOTEH Faizal, Zizan & Jihan memang kelakar.
Oleh Michelle Gun

Selepas 10 minggu berlangsung, Akademi Fantasia (AF) akhirnya melabuhkan tirainya malam kelmarin dengan mengumumkan Firman sebagai juara program realiti TV itu.

Bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kemenangan bakat kelahiran Tawau, Sabah itu tidak mengejutkan kerana sudah dijangkakan ramai.

Bagaimanapun, kemaraan Aman di tempat kedua mengejutkan ramai penonton kerana dia sering menjadi mangsa kritikan juri tetap.

Kedudukan seorang lagi peserta yang diserap masuk, Adel juga menambah kejutan kerana dia mendapat komen positif daripada juri, Raja Azura dan Amy Search.

Adel dianggap peserta yang memiliki pakej lengkap serta vokal mantap.

Nuha, biarpun terlupa lirik ketika menyanyikan lagu Beribu Sesalan, masih mampu menduduki tempat keempat, sekali gus mengetepikan Adel.

Keputusan lain final AF 2014 menyaksikan tempat ketiga disandang Ewal yang mempunyai prestasi cukup konsisten.

Terdahulu, kelima-lima finalis dikehendaki menyanyikan satu lagu 'cover version' dan single sendiri.

Pada konsert peringkat akhir itu, Firman mendendangkan lagu Kejoraku Bersatu nyanyian kumpulan Search diikuti single terbaru berjudul Di Pintumu ciptaan Datuk M Nasir.

Aman menyanyikan lagu Mewangi yang dipopularkan Akim & The Magistrate serta single Without You ciptaan khas Awi Rafael untuknya.

Adel pula mempersembahkan lagu I Have Nothing nyanyian Whitney Houston dengan baik serta single Cinta dan Tasbih ciptaan Kuncidemak.

Konsert turut menyaksikan persembahan hebat Ewal yang mendendangkan lagu Hafiz Suip, Matahari diikuti single Kembalikan Semula nukilan DJ Fuzz.

Di pentas final juga, Nuha tampilkan kelainan dengan mempersembahkan lagu ciptaan sendiri berjudul Pertama Kali.

Selain persembahan hebat finalis, pentas konsert dimeriahkan dengan gelagat melucukan pengacara Zizan Razak, Faizal Ismail dan Jihan Muse.

Pengkritik undangan pada minggu akhir menampilkan penyanyi rock tersohor Amy Search bersama juri tetap, Datuk Ramli MS dan Raja Azura.

Terdahulu, konsert AF 2014 membuka tirai pada jam 9 malam dengan persembahan hebat daripada kumpulan Bunkface dan Amy Search.

Turut menghangatkan suasana Auditorium MBSA pada malam itu adalah penyanyi terkenal tanah air, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Mas Idayu.

Peserta lain AF 2014 yang tersingkir sebelum ini turut membuat penampilan istimewa dengan mendendangkan lagu berjudul Mulanya Di Sini sebelum disertai finalis serta tenaga pengajar program realiti itu.

Firman mahu hantar ibu bapa ke Makkah

Mengekalkan prestasi konsisten sepanjang 10 minggu cabaran, Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir, 25, mempunyai kelebihan kerana mempunyai vokal unik terutama ketika mempersembahkan lagu genre rock.

Dia ketika ditemui selepas konsert final AF 2014 berkata, kemenangan itu tidak pernah dijangkakan.

"Finalis lain juga hebat dari segi persembahan dan vokal terutama Nuha. Prestasi mereka semua berubah di konsert final, jadi tidak pernah terlintas dalam fikiran saya akan menang," katanya.

Menurut anak kelapan daripada 11 adik-beradik itu, dia akan membelanjakan sebahagian daripada wang kemenangan sebanyak RM50,000 untuk menghantar ibu dan bapanya menunaikan umrah di Makkah.

"Saya ingin menunaikan hasrat kedua-dua ibu bapa untuk menunaikan umrah dan inilah masa untuk mencapai impian mereka. Saya juga ingin dermakan sejumlah wang kepada tabung Gaza," katanya.

Sebelum menyertai AF 2014, Firman memulakan karier nyanyian dengan 'busking' di sekitar Kota Kinabalu.

"Aktiviti ini dilakukan bersama rakan sejak lebih setahun lalu. Justeru, saya amat berterima kasih kepada peminat kerana tidak berhenti menyokong saya sepanjang menyertai program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:04 AM