Oleh Georgie Joseph


SHAH ALAM: Nina Nadira Naharuddin atau Nina, 22, dan Muhd Zharif Mohd Kamil atau Zarif, 26, menjadi mangsa penyingkiran apabila mendapat undian paling rendah pada konsert kelapan program realiti Akademi Fantasia (AF) 2014 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi.

Nina yang berasal dari Selangor mendendangkan lagu Rescue (Yuna) manakala Zarif dari Johor menyanyikan lagu Roman Cinta (Mojo).

Mereka gagal memikat penonton sekali gus meranapkan impian mereka ke peringkat akhir dua minggu lagi.

Pada konsert suku akhir itu, hanya tinggal tujuh pelajar bersaing untuk menempa ke pentas akhir termasuklah Nuha yang menyanyikan Kisah Dongeng (Stacy), Aman (Kasih Latifah - Spider) dan Azwan (Cinta Nusantara - Sheqal).

Tidak ketinggalan, lagu tugasan Ewal pula adalah Mahakarya Cinta (Faizal Tahir), dan Firman (She's Gone - Steel Heart), selepas pelajar kegemaran Adel tersingkir minggu lalu.

Bertemakan lagu pilihan daripada pihak media, Pengarang Hiburan Harian Metro Roslen Fadzil dijemput menjadi juri undangan kali ini di samping juri tetap Datuk Ramli MS dan Raja Azura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 12:59 AM