PENDUDUK Kunduz melarikan diri dari kediaman masing-masing selepas bandar itu diserang Taliban, semalam.
PENDUDUK Kunduz melarikan diri dari kediaman masing-masing selepas bandar itu diserang Taliban, semalam.
Agensi

Kabul: Pemberontak Taliban menyerang penjara utama di bandar utara Kunduz semalam dan membebaskan ratusan rakan seperjuangan beberapa jam selepas menawan sebahagian besar bandar berkenaan.

Kumpulan itu yang bersenjatakan grenad menewaskan pengawal keselamatan di penjara berkenaan, kata dua pegawai tempatan yang enggan dinamakan.

Timbalan gabenor Kunduz yang sempat melarikan diri berkata, tentera kerajaan dikerahkan membantu bagi mengelak bandar itu jatuh terus ke Taliban.

Jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu di akaun Twitternya. Katanya Taliban menawan hospital di barat daya Kunduz dan menasihatkan penduduk supaya tidak keluar rumah.

Pejuang Taliban mengibarkan bendera mereka selepas merampas separuh daripada bandar itu dalam serangan semalam - kejayaan pertama seumpama itu sejak ditumpaskan dalam serangan diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 2001.

Sebelum itu, ratusan pejuang Taliban melancarkan serangan pada awal pagi dengan menyerang dari beberapa arah, menyasarkan hospital, kompleks mahkamah serta bangunan kerajaan lain.

Jurucakap ketua polis wilayah Kunduz, Sayed Sarwar Hussaini berkata, serangan di bandar itu bermula jam 3 pagi. Pertempuran dengan tentera kerajaan kemudian berlaku sekurang-kurangnya di empat lokasi.

Kira-kira 20 pemberontak terbunuh dengan beberapa pasukan keselamatan dilaporkan cedera. Katanya, mereka masih menunggu bantuan ketenteraan yang dikerahkan ke situ.

Sekiranya Kunduz jatuh ke tangan Taliban, ia mampu memberi tamparan hebat terhadap kerajaan Afghanistan yang memerangi pemberontak selepas pengunduran tentera NATO, tahun lalu.

Ketua majlis wilayah Kunduz Mohammad Yusouf Ayubi berkata, keadaan ini membimbangkan penduduk bandar.

“Taliban cuba mengambil alih bandar Kunduz, sebab itulah mereka melancarkan serangan dari arah yang berbeza,” katanya.

“Pertempuran itu berlaku di antara kedua-dua pasukan Afghanistan dan pemberontak,” katanya.

Jurucakap kementerian dalam negeri Sediq Sediqqi berkata : “Pihak kami mendapat maklumat satu lagi serangan dirancang. Pasukan keselamatan di Kunduz bersedia menghadapi serangan, tetapi tidak menyangka ia sehebat ini dan diselaraskan di 10 lokasi secara serentak.

“Pertempuran masih berlaku di dalam bandar itu. Sebahagian Kunduz dikawal Taliban termasuk pasar, kedai dan beberapa bangunan kerajaan,” katanya.

Wilayah Kunduz - pengeluar gandum dan makanan besar Afghanistan - terletak di persimpangan jalan strategik yang menghubungkan empat tempat di Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 6:03 AM