Kuala Lumpur: AirAsia X Bhd (AirAsia X) mencatatkan pertumbuhan 24 peratus tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) kepada 6.36 juta pada suku ketiga 2014, meskipun kedudukan pasaran yang sangat lemah.

Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu berkata, pertumbuhan penumpang yang lebih tinggi itu diterjemah berdasarkan faktor muatan melebihi 80 peratus dan terus merangsang permintaan bagi memenuhi kapasiti baru yang disuntik pada suku berkenaan.

“Namun, kapasiti tambahan pada suku ketiga lebih rendah berbanding unjuran awal dan ini disebabkan lebih banyak kapasiti pesawat ditarik balik daripada perkhidmatan berjadual semasa tempoh rendah serta penugasan semula kepada sewaan khas dan pajakan di kawasan lain yang menjana margin yang positif,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Daripada segi pertumbuhan suku ke suku, ASK meningkat hanya dua peratus, daripada 6.26 juta yang direkodkan pada suku kedua 2014, terutama disumbangkan oleh pelancaran perkhidmatan baru ke Xian, China, pada 2 Julai tahun ini.

“Suntikan pertumbuhan kapasiti yang lebih perlahan berbanding suku ketiga 2014 dan seterusnya, bertujuan membolehkan kapasiti tambahan pada 2013 matang dan berkembang maju untuk mencatat keuntungan,” katanya.

Syarikat penerbangan itu mencatat trafik penumpang yang kukuh daripada segi hasil penumpang setiap kilometer kepada 5.12 juta daripada 4.22 juta dengan 1.04 juta penumpang diterbangkan sepanjang suku ketiga 2014, berbanding 84 juta penumpang dalam tempoh sama tahun lalu.

Segmen kargo pula menyaksikan peningkatan 21 peratus tahun ke tahun yang diangkut kepada 9,771 tan berbanding 8,079 tan pada suku sama tahun lalu dengan 41 peratus faktor muatan.

Pada suku berkenaan, AirAsia X menerima sebuah pesawat A330-300 secara pajakan operasi, menjadikan 21 pesawat A330-300, dua A340-300 dan sebuah A330-200, akan dipulangkan menjelang akhir 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:02 AM