SEHINGGA 31 Disember lalu, AirAsia X Malaysia mempunyai 24 pesawat A330s.
SEHINGGA 31 Disember lalu, AirAsia X Malaysia mempunyai 24 pesawat A330s.
HM Bisnes

AIRASIA X Bhd (AirAsia X) mencatatkan peningkatan lapan peratus kepada 1.61 juta bagi jumlah penumpang sepanjang tempoh suku keempat 2019 (SK19) berbanding tempoh sama tahun lalu.

Syarikat penerbangan berkenaan dalam kenyataan berkata, kapasiti tempat duduk meningkat empat peratus tahun ke tahun kepada 1.99 juta pada suku yang sama namun kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) hanya meningkat satu peratus kepada 9.21 juta susulan jarak perjalanan yang lebih pendek hasil daripada proses penyusunan semula rangkaian.

“AirAsia X Malaysia merekodkan faktor beban penumpang yang sihat (PLF) sebanyak 81 peratus pada SK19, tiga mata peratusan lebih tinggi berbanding PLF yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, pada suku tahun terbabit, kekerapan penerbangan ke Bali, Taipei, Seoul, Perth, Sydney dan Gold Coast meningkat khususnya pada Disember bagi menampung permintaan tinggi pada musim puncak akhir tahun.

AirAsia X Malaysia melancarkan dua laluan baharu pada November lalu iaitu Kuala Lumpur-Singapura dengan kekerapan 14 kali seminggu manakala Kuala Lumpur-Tokyo (Narita) bermula sebagai tambahan kepada perkhidmatan Kuala Lumpur-Tokyo (Haneda) sedia ada.

Sehingga 31 Disember lalu, AirAsia X Malaysia mempunyai 24 pesawat A330s.

Berdasarkan prestasi setahun penuh, AirAsia X Malaysia membawa 6.07 juta penumpang, dua peratus lebih rendah tahun ke tahun, sejajar penurunan jumlah tempat duduk dan kapasiti ASK masing-masing sebanyak dua peratus serta tiga peratus, susulan proses mengoptimumkan rangkaian dan penyusunan semula laluan.

“Sepanjang tahun lalu, AirAsia X Malaysia memperkenalkan lima laluan baharu dari Kuala Lumpur: Fukuoka, Lanzhou, Taipei-Osaka, Tokyo (Narita) dan Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:15 AM