AirAsia catat perkembangan positif pada tahun lalu. FOTO Rasul Azli Samad
AirAsia catat perkembangan positif pada tahun lalu. FOTO Rasul Azli Samad
HM Bisnes

SIJIL Pengendali Udara (AOC) membabitkan gabungan pesawat AirAsia Group Bhd (AirAsia Group) mencatatkan pertumbuhan sebanyak sembilan peratus tahun ke tahun dalam jumlah muatan penumpang kepada 13.17 juta dalam pada keempat berakhir 31 Disember 2019.

Kapasiti meningkat sebanyak 11 peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan tinggi di Indonesia dan Filipina.

Bagaimanapun, faktor beban susut dua mata peratusan kepada 82 peratus disebabkan oleh kapasiti yang lebih tinggi.

Syarikat penerbangan berkenaan dalam kenyataan berkata, AirAsia Malaysia menambah empat peratus lebih kapasiti dan mencatat dua peratus lebih muatan penumpang tahun ke tahun dengan faktor beban lebih rendah sebanyak 82 peratus berikutan perubahan strategi harga.

Ia berkata, kapasiti AirAsia Indonesia meningkat 32 peratus berbanding suku keempat 2018 manakala, AirAsia Philippines mencatat pertumbuhan kapasiti yang kukuh sebanyak 27 peratus tahun ke tahun berikutan pelancaran laluan baharu.

Kapasiti AirAsia Jepun berkembang sebanyak 94 peratus manakala tempat duduk tersedia setiap kilometer (ASK) meningkat sebanyak 74 peratus berikutan pelancaran laluan ketiganya, Nagoya-Sendai pada suku ketiga tahun lalu.

Sementara itu, AirAsia India mencatatkan peningkatan pertumbuhan penumpang sebanyak 39 peratus tahun ke tahun berikutan pengembangan kapasiti sebanyak 38 peratus.

Bagaimanapun, kapasiti AirAsia Thailand merosot dua peratus tahun ke tahun kerana ia terus memberi tumpuan kepada penyesuaian semula kapasiti dan rasionalisasi laluan untuk meningkatkan kecekapan dan memadankan permintaan yang lebih baik, kata kumpulan itu.

Bagi sepanjang 2019, enam AOC AirAsia menyaksikan pertumbuhan yang ketara, mencatat 12 peratus muatan penumpang tahun ke tahun, mencatat 83.5 juta penumpang.

Pengembangan kapasiti melonjak 11 peratus pada 2019 susulan penambahan 19 lagi pesawat, menjadikan jumlah sebanyak 243 pesawat bagi tahun tersebut.

AirAsia berjaya mencapai sasaran faktor beban sebanyak 85 peratus bagi enam AOC gabungan pesawatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 7:50 AM