Melaka: Sebuah gudang jualan barangan borong di Cheng di sini, diserbu kerana melakukan kesalahan Akta Makanan 1983 dengan nilai rampasan berjumlah RM846.20 dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi hari ini.

Kesalahan termasuk menjual produk makanan melebihi tarikh luput, pelabelan produk yang salah dan turut melibatkan kesalahan berkaitan aspek keselamatan di premis tersebut.

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Melaka Muhammad Ridzuan Mohd Sarif berkata pihaknya merampas beberapa produk makanan kerana kesalahan label dengan nilai rampasan RM 229.40 manakala kesalahan tarikh luput, nilai rampasan berjumlah RM616.80.

"Semua produk makanan yang dirampas termasuk 74 bungkus biskut, 15 kotak minuman coklat serta enam botol minuman yang dikesan telah melebihi tarikh luput

dan tiada label atau tiada tarikh luput," katanya selepas operasi selama sejam itu.

Beliau berkata barangan yang disita itu akan dilupuskan mengikut Akta Makanan 1983. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 9:12 PM