Pengarah JKN, Dr Rushdi Ramly (tengah) dan Chee Leong (kanan) memeriksa produk pada Operasi Hari Raya (Ops Raya 2019) di sebuah pasar raya di Ayer Keroh. FOTO Khairunisah Lokman.
Pengarah JKN, Dr Rushdi Ramly (tengah) dan Chee Leong (kanan) memeriksa produk pada Operasi Hari Raya (Ops Raya 2019) di sebuah pasar raya di Ayer Keroh. FOTO Khairunisah Lokman.
Nur Saliawati Salberi

SEJUMLAH 1, 417 barangan makanan bernilai RM165,000 disita Jabatan Kesihatan Melaka kerana tidak mematuhi Akta Makanan.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, rampasan hasil serbuan ke atas 34 pasar raya di sekitar Melaka dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, setiap barangan makanan yang dijual di pasar raya dan premis perlu mematuhi Akta Makanan 1983 iaitu meliputi pelabelan tarikh luput dan pengeluar serta pembungkusan.

“Sejak Januari hingga April, Jabatan Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menyita 1, 416 produk selepas didapati dijual dengan tidak mengikut syarat ditetapkan.

“Daripada jumlah itu, kesalahan tertinggi direkodkan adalah pelabelan dengan 663 kes, diikuti tiada tamat tarikh luput (434), pembungkusan (274) serta makanan berkulat atau rosak (45),” katanya dalam sidang media sempena Ops Raya 2019 di Pejabat Kesihatan Bukit Baru, Melaka, hari ini.

Chee Leong berkata, tiga notis kompaun mengikut Peraturan- Peraturan Makanan 1985 turut dikeluarkan dalam tempoh sama.

“Notis dengan nilai keseluruhan RM10,000 dikeluarkan membabitkan kesalahan penandaan tarikh termasuk menjual apa-apa bungkusan makanan yang sudah luput,” katanya.

Sementara itu, Chee Leong berkata, dalam Ops Raya yang diadakan di sebuah pasar raya di Ayer Keroh kira-kira 3.30 petang ini, sejumlah 640 barang makanan bernilai RM4,650 disita.

Beliau berkata, turut dikeluarkan satu notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 selepas didapati premis gagal berada dalam keadaan bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 9:16 PM