AFP

London: Bekas pengurus Manchester United Alex Ferguson mendedahkan beliau enggan membenarkan Wayne Rooney menerima gaji lebih besar daripada diterimanya ketika kedua-dua individu itu berbalah soal kontrak baru pada 2010.

Rooney pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan United selepas mendakwa kelab itu kurang cita-cita tetapi membuat pusingan-U dan setuju menandatangani kontrak lanjutan lima tahun dengan gaji £180,000 (RM1.19 juta) seminggu.

Tetapi, dalam buku terbarunya yang diberi nama Leading, Ferguson mendedahkan beliau menjadi dalang perjanjian berkenaan untuk memastikan tidak ada pemain yang menerima gaji lebih daripada dirinya dan beliau sendiri memberitahu pemilik kelab bahawa adalah tidak adil sekiranya Rooney dibayar lebih banyak berbanding beliau.

“Pegangan saya cukup mudah. Saya dan pemilik kelab bersetuju tidak ada pemain yang wajar menerima gaji lebih daripada saya,” kata Ferguson.

Rooney berselisih faham dengan Ferguson sebelum pengendali Scotland itu bersara pada 2013 dengan dia kerap diketepikan tetapi kembali dilantik sebagai kapten oleh pengurus semasa Louis van Gaal.

Ferguson berkata, Everton melakukan banyak cubaan untuk menghalang perpindahan Rooney ke United pada 2004 termasuk kelab terbabit memujuk ibu bintang berkenaan.

“Selepas kami memberikan tawaran terakhir, (pengurus Everton Bill) Kenwright memujuk ibu Rooney supaya menghubungi saya dan berkata: “Anda tidak akan dapat melarikan anak saya’,” kata Ferguson yang kini bergelar pengarah United.

Pendedahan lain dalam buku berkenaan termasuk Ferguson merancang membawa masuk penyerang Itali Mario Balotelli pada 2010 tetapi kontrak semasa pemain itu menghalang usaha berkenaan.

“Pada 2010, saya pernah terfikir untuk membawa masuk Mario Balotelli,” kata Ferguson.

“Saya membuat kajian terhadapnya dan berbincang dengan beberapa jurulatih Itali tapi diberitahu usaha itu bakal mengundang risiko besar.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:30 AM