Ji Sung (kiri) ketika beraksi bersama Rooney. FOTO Agensi
Ji Sung (kiri) ketika beraksi bersama Rooney. FOTO Agensi
Agensi

WAYNE Rooney percaya Park Ji Sung sama pentingnya seperti Cristiano Ronaldo di sebalik kejayaan Manchester United kerana dia membawa etika pasukan yang kuat di bawah bimbingan Alex Ferguson.

Pemain tengah Korea Selatan itu beraksi selama tujuh musim di United antara 2005 sehingga 2012 dan memenangi empat kejuaraan Liga Perdana, tiga Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara.

Rooney berkata, dia, Ronaldo dan Carlos Tevez sering menjadi tumpuan kerana menjaringkan gol tetapi segala kejayaan itu adalah hasil bantuan Ji Sung.

Penjaring gol terbanyak United itu memberi contoh pertemuan Liga Juara-Juara dengan AC Milan yang menyaksikan Ji Sung berjaya mengawasi ketat Andrea Pirlo.

Menulis di The Sunday Times, Rooney berkata: "Jika anda menyebut nama Cristiano Ronaldo kepada kanak-kanak berusia 12 tahun, mereka akan mudah mengenalinya tetapi jika anda menyebut nama Park Ji Sung, mereka mungkin tidak mengenalinya.

"Tapi bagi kami yang beraksi bersama Ji Sung sedar betapa pentingnya dia di sebalik kejayaan kelab. Ji Sung memberikan segala-galanya kepada pasukan."

Rooney menambah, Ji Sung serta rakannya di bahagian tengah, Darren Fletcher cukup penting di sebalik kejayaan United pada saingan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara yang menyaksikan mereka melangkah ke final sebanyak tiga kali sepanjang empat musim.

"Pemain seperti saya, Ronaldo dan Tevez sering menjadi tumpuan tetapi mereka juga sama penting kerana sangat membantu pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 10:03 PM