London: Alex Ferguson menganggap pendapat menyatakan beliau meninggalkan skuad ‘tua’ Manchester United kepada penggantinya di Old Trafford, David Moyes sebagai satu ‘penghinaan’.

Moyes mengambil alih berikutan persaraan Ferguson, pengurus bola sepak paling berjaya Britain, selepas hujung musim 2012-13.

Pengulas bola sepak berkata, tanggungjawab bekas pengurus Everton Moyes sukar berikutan tiada perancangan rapi Ferguson.

Namun Ferguson berkata, Moyes yang dipecat tidak sampai semusim di Old Trafford selepas United gagal layak ke Liga Juara-Juara, melakukan kesilapan tidak mengekalkan bekas penolong pengurus Mike Phelan dalam kalangan stafnya.

“Ia satu penghinaan menyatakan saya meninggalkan skuad tua,” jelas Ferguson dalam satu temuramah bersama aktor dan penyokong United, James Nesbitt di Teater Drury Lane, London kelmarin bagi mempromosikan autobiografi terkininya.

“Chelsea mempunyai tujuh pemain usia lebih 30 tahun, tapi tiada siapa bercakap mengenai mereka sebuah pasukan tua.

“Terlalu mudah mempertahankan diri menentang semua dakwaan itu kerana statistik membuktikannya.

“Saya fikir beliau patut mengekalkan Phelan, beliau seorang yang terlalu meminati United, setia, bekerja keras dan menilai pemain dengan baik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:08 AM