MATAHARI terbenam di belakang rumah yang musnah dan ditenggelami banjir di bandar Joso, semalam.
MATAHARI terbenam di belakang rumah yang musnah dan ditenggelami banjir di bandar Joso, semalam.
Reuters

Joso (Jepun): Sekurang-kurangnya 23 orang dilaporkan hilang termasuk dua kanak-kanak selepas banyak kediaman dihanyutkan banjir dan ditimbus tanah runtuh dalam bencana yang menyebabkan 100,000 penduduk terpaksa di pindahkan.

Hujan lebat dijangka berterusan di bahagian utara Jepun, tetapi banjir di Joso, bandar paling teruk terjejas semakin surut.

Tiga maut termasuk wanita berusia 63 tahun selepas rumahnya musnah akibat tanah runtuh dan seorang lagi wanita lemas selepas kereta yang dipandu dihanyutkan banjir.

Sekurang-kurangnya 28 cedera ringan, manakala lapan lagi parah dalam kejadian itu.

Dua kanak-kanak berusia lapan tahun antara yang hilang selepas banjir melanda utara wilayah Miyagi.

Pesisiran pantai wilayah itu sebelum ini rosak teruk dalam gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac 2011 yang mengakibatkan 20,000 orang terbunuh.

Sebahagian mangsa yang terselamat berkata, banjir itu mengingatkan mereka kepada bencana yang pernah berlaku sebelum ini.

“Bencana pada 2011 hampir sama dengan ini. Mangsa yang tidak melarikan diri kerana percaya tsunami tidak akan berlaku, terbunuh,” kata seorang lelaki.

“Memang situasi tidak sama, tetapi anda bertanggungjawab ke atas nyawa sendiri,” katanya.

Helikopter berlegar di sekitar Osaki selepas air sungai Shibui menenggelamkan sawah dan kediaman penduduk, sementara anggota penyelamat membawa penduduk ke tempat lebih selamat.

Penduduk yang terdesak mengibarkan tuala ke arah anggota penyelamat dari tingkat dua rumah mereka yang ditenggelami air sambil menunggu bantuan.

“Rumah saya musnah sama sekali,” kata seorang wanita warga emas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:16 AM