Ahmad Zahid (tengah) tiba di Stesen Tokyo untuk menaiki kereta api laju Shinkansen dari Tokyo ke Sendai.
Ahmad Zahid (tengah) tiba di Stesen Tokyo untuk menaiki kereta api laju Shinkansen dari Tokyo ke Sendai.
BERNAMA

Sendai (Jepun) : Malaysia berminat menimba pengalaman dan pengetahuan Jepun dalam pengurusan bencana alam dalam usahanya menangani sebarang risiko bencana negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menghantar sebuah pasukan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Zaitun Ab Samad untuk mempelajari pengalaman Pihak Pentadbiran Wilayah Miyagi mengurus mangsa tsunami di wilayah itu.

“(Pengalaman) ini harus dipelajari kerana Malaysia baru sahaja membentuk NADMA, yang bertindak sebagai pusat mengendalikan masalah bencana negara.

“Pihak Wilayah Miyagi menawarkan untuk menempatkan pegawai kita di sini bagi tempoh tertentu bagi menimba pengalaman. Pada hemat saya, ini satu tawaran baik yang harus kita pelajari sebab kita tidak mahu ‘bila terantuk baru terngadah,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai usaha pemulihan dan pembinaan semula wilayah Miyagi daripada Naib Gabenor Sendai, Masahiro Wako.

Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan lima hari ke Jepun sejak semalam berkata, tawaran itu memberi peluang baik kepada Malaysia untuk meningkatkan kesiapsiagaannya menghadapi bencana alam.

Pada 2011, Wilayah Miyagi dilanda gempa bumi bermagnitud 9.0 pada skala Richter dan tsunami besar yang mengorbankan nyawa serta memusnahkan infrastruktur termasuk loji nuklear.

Kejadian itu menyebabkan kerugian AS$83 bilion dan meragut 15,894 nyawa manakala 2,569 orang lagi dilaporkan hilang.

Wilayah Miyagi mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam mengurus mangsa tsunami dan gempa bumi termasuk menempatkan semula penduduk serta membangunkan semula kawasan terjejas teruk akibat bencana itu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Negara berkata, ada tiga elemen yang harus Malaysia pelajari daripada Wilayah Miyagi.

“Pertama, merangka perancangan jangka panjang yang holistik bagi mengelak impak bencana yang mengakibatkan kerosakan teruk seperti tebatan atau penahan ombak serta mendalamkan sungai termasuk muara dan hulunya.

“Kedua, perancangan jangka panjang bagi penempatan kepada mangsa banjir bagi mengelakkan kos yang tinggi di samping memberi keselesaan kepada mangsa berkenaan.

“Ketiga, penstrukturan pendapatan pekerjaan mangsa bencana yang terkesan daripada bencana itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 7:43 AM