MANGSA banjir di bandar Joso mengumpulkan barangan milik rumah mereka, semalam.
MANGSA banjir di bandar Joso mengumpulkan barangan milik rumah mereka, semalam.

Tokyo: Jumlah mangsa yang terbunuh dalam banjir yang melanda Jepun beberapa hari lalu meningkat lima orang semalam.

Polis menemui mayat seorang lelaki di Tochigi, utara Tokyo, awal pagi semalam, mayat kelima ditemui dalam operasi mencari.

Mayat berkenaan yang masih belum dikenal pasti ditemui dalam sebuah kereta di kawasan sawah yang ditenggelami banjir di bandar itu.

Sementara itu, operasi mencari membabitkan 1,800 anggota penyelamat yang dianggotai tentera, bomba dan askar diteruskan semalam dalam usaha mengesan 15 penduduk yang masih hilang di bandar Joso.

Bandar dengan penduduk 65,000 orang itu adalah yang paling teruk terjejas. Sebahagian bandar berkenaan dihanyutkan banjir Khamis lalu selepas air Sungai Kinugawa melimpahi tebing, menenggelamkan kawasan seluas 32 kilometer persegi berikutan hujan paling lebat dalam masa puluhan tahun.

Lebih 4,000 kediaman masih ditenggelami air di Joso kelmarin, memaksa 5,000 penduduk menumpang di pusat pemindahan sementara.

Jumlah mangsa yang hilang bagaimanapun menurun selepas polis menemui beberapa mangsa yang disenaraikan hilang, termasuk dua kanak-kanak berusia lapan tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 6:27 AM