Rozainita Rahim (kiri) dibantu ibunya, Hawiah Mohamed menjalani Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Rozainita Rahim (kiri) dibantu ibunya, Hawiah Mohamed menjalani Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Walaupun luarannya nampak normal, Rozainita Rahim sebenarnya bergantung kepada rawatan hemodialisis air atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) empat kali sehari akibat kerosakan buah pinggang dialaminya sejak 10 tahun lalu.

Rozainita, 33, dikesan menghidap sistemik lupus eritematosus (SLE) sejak 2006 dan pada 2010 dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap empat dan perlu menjalani rawatan hemodialisis seumur hidup.

Katanya, walaupun ada ketikanya badannya berasa lemah, dia tetap menggagahkan diri untuk bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup selain perlu menampung kos perubatan mencecah RM1,000 sebulan termasuk ubat-ubatan dan susu khas untuk pesakit buah pinggang.

"Selagi boleh bekerja untuk mencari rezeki, saya akan tetap bekerja kerana tidak mahu menyusahkan adik beradik lain, dan ada ketikanya mereka menghulurkan wang jika saya memerlukan.

"Segala kelengkapan rawatan hemodialisis melalui kaedah CAPD dilakukan di rumah itu dibeli sendiri menggunakan surat jaminan (GL) dan ia dapat meringankan beban ditanggung memandangkan saya kakitangan kerajaan.

"Saya perlu menjalani rawatan CAPD empat kali sehari iaitu setiap enam jam sekali dan melalui kaedah rawatan CAPD, cecair dialisis dibiarkan di dalam rongga peritoneal selama beberapa jam dan dikeluarkan daripada abdomen serta diganti dengan cecair dialisis baru," katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Kedai Buloh, di sini, semalam.

Terdahulu, dia menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) diketuai Akidi Hamid yang turut menyampaikan sumbangan kewangan selain susu khas untuk pesakit buah pinggang.

Katanya, disebabkan perlu menjalani rawatan CAPD di rumah mengikut masa ditetapkan, setiap kali waktu rehat dia akan pulang untuk melakukan rawatan dialisis sebelum kembali ke tempat kerja.

"Mujurlah saya mempunyai majikan memahami situasi dialami dan rakan sekerja banyak membantu.

"Selepas berpisah dengan bekas suami sejak sembilan tahun lalu, ibu, ayah serta adik beradik banyak memberi kata-kata semangat untuk saya meneruskan kelangsungan hidup apatah lagi apabila diuji dengan pelbagai penyakit," katanya.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, ujian demi ujian dilaluinya tidak terhenti di situ apabila pada awal tahun ini, doktor mengesan terdapat biji di bahagian lehernya dan disahkan tiroid.

Katanya, pada Jun lalu, dia menjalani pembedahan membuang biji itu di Hospital Raja Perempuan Zainab 11 (HRPZ11) dan perlu menjalani rawatan susulan bagi mengetahui perkembangan semasa penyakit dihidapi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 4:08 PM