Penduduk melihat kebakaran di rumah Menteri Kesihatan Manipur Phungzaphang Tonsimg.
Penduduk melihat kebakaran di rumah Menteri Kesihatan Manipur Phungzaphang Tonsimg.

Gauhati (India): Penunjuk perasaan merusuh di Manipur malam kelmarin termasuk membakar kediaman tujuh ahli Parlimen kerana membantah perundangan baru yang menetapkan golongan yang boleh mengaku berasal dari negeri di timur laut India itu.

Seorang maut selepas terperangkap dalam rumah yang terbakar, manakala dua lagi mati selepas polis melepaskan tembakan untuk menyuraikan suspek yang memulakan kebakaran.

Polis turut menguatkuasakan perintah berkurung selain mengerahkan pasukan separa tentera selepas keganasan tercetus di bandar Churachandpur, 70 kilometer dari Imphal, ibu negeri Manipur.

Ahli Parlimen N Biren Singh berkata, undang-undang itu memaksa orang ramai menunjukkan bukti bahawa keluarga mereka tinggal di Manipur sebelum 1951, bertujuan memastikan tiada ‘orang luar’ - termasuk migran - menetap di negeri yang bersempadan dengan Myanmar itu.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa tiada rancangan untuk membuat pemeriksaan dokumen dalam masa terdekat.

Menurut pihak yang membantah perundangan itu, ia mungkin mengakibatkan golongan yang bukan pendatang haram, tetapi menetap di situ selepas 1951, atau mereka yang tidak mempunyai dokumen diperlukan, diusir. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:42 AM