RAKAMAN video penjualan tangan monyet di India. FOTO PETA
RAKAMAN video penjualan tangan monyet di India. FOTO PETA
Agensi

Manipur, India: Rakaman mengejutkan menunjukkan tangan monyet yang sudah dipanggang dan anjing yang hanya menunggu masa untuk disembelih dijual secara terbuka di sebuah pasar basah di India.

Mirror Online melaporkan, dalam video yang dikongsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) dapat dilihat anjing hidup diisi dalam karung, manakala bahagian badan monyet, termasuk tangan dijual di pasar itu.

PETA menegaskan, rakaman itu menunjukkan 'pelanggaran' terhadap undang-undang perlindungan haiwan dan hidupan liar.

Ia juga menunjukkan risiko pasar basah itu yang mana penjualan haiwan berkenaan boleh menjadi punca penularan wabak yang membawa maut.

Dalam video itu, PETA menjelaskan, "Di Nute Bazaar di Manipur, daging monyet, landak, kijang, babi hutan dan burung yang bermigrasi dijual secara haram.

"Di Pasar Churachandpur di Manipur, daging monyet, babi hutan dan rusa juga dijual secara haram.

"Di Keera Bazaar di Dimapur, Nagaland, anjing ditangkap dan dibunuh sebelum dagingnya dijual.

"Pemerintah Nagaland baru-baru ini memutuskan untuk melarang penjualan daging anjing, tetapi perdagangan itu masih berlanjutan di beberapa negeri di India yang lain."

Dalam salah satu klip video berkenaan yang dikatakan dirakam di Nute Bazaar, Manipur, menunjukkan dengan jelas tangan monyet dipanggang dijual secara terbuka.

Rakaman suara dalam video itu memperdengarkan perbualan, "Ini monyet?" Seorang lelaki menjawab, 'Ya... tangan monyet."

Senario sama dapat dilihat di Pasar Churachandpur yang menjual tangan monyet di tapak jualan bersama potongan daging besar, turut dipercayai daging monyet.

Dapat dilihat juga, anjing termengah-mengah diikat di dalam karung di Keera Bazaar, sementara dalam paparan video lain menunjukkan kepala anjing yang dipenggal dipenuhi dengan lalat.

Pengarah PETA, Elisa Allen berkata kepada Mirror Online, "Tempat seperti ini, penuh dengan haiwan yang 'sakit' dan 'tertekan', ia tapak penularan wabak membawa maut.

"Selagi pasar haiwan sebegini dibenarkan beroperasi, manusia akan terus berisiko dengan penularan wabak penyakit dan tidak terhitung penganiayaan terhadap haiwan yang menyakitkan."

PETA menegaskan, pasar basah seperti itu adalah lokasi tepat penularan wabak zoonosis yang boleh menjangkiti manusia dan mendesak orang ramai tampil bersama mendesak penutupan pasar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 1:16 PM