Oleh Nor Faizah Mohamed


Ia sebuah kisah cinta. Bukan cinta agung, tetapi hanya cinta biasa. Manusia keliru dengan cinta. Manusia lemas dengan cinta.

Lazimnya ia kisah seorang lelaki bertemu wanita dan wanita itu jatuh cinta pada si lelaki. Namun kala Sienna bertemu Nick, ia bukan kisah cinta seperti yang diharapkannya.

Lucu dan sedih, ia kisah bagaimana dua jiwa yang sering mengatakan takdir tidak menyebelahi mereka untuk bersama. Ia satu persahabatan yang panjang dan masing-masing mengharapkan penamat yang indah.

Sebagai peminat tegar ‘chic-lit’ (chic-literature atau kesusasteraan wanita), penulis mengagumi karya sulung Jessica ini.

Membaca naskhah baru seperti ini bagaikan kejutan ketika menerima hadiah ulang tahun kelahiran daripada insan yang tidak diduga saspens dan dalam masa sama tiada harapan tinggi dipautkan padanya.

Kata orang, jangan dinilai buku pada kulitnya, tetapi laju saja tangan penulis mencapai buku ini ke kaunter kerana tertarik dengan reka grafik kulit hadapannya.

Dan isi di dalamnya tidak menghampakan. Ia cerita cinta normal antara dua watak. Dua insan yang saling tidak mengenali bertemu secara tidak sengaja di dalam tren di tengah London.

Sienna baru mendapat kerja sebagai penyunting dan wartawan separuh masa untuk majalah gaya hidup, sementara Nick yang bercuti panjang, rupanya memegang jawatan eksekutif grafik serta foto di syarikat sama.

Persahabatan kedua-duanya bermula apabila Sienna dan Nick ditugaskan membuat liputan konvensyen permainan video antarabangsa di Amerika Syarikat.

Dua hati mula bertaut namun Sienna sebenarnya belum bersedia untuk bercinta dek tanggungjawabnya kepada bapa yang uzur.

Sebahagian plot menceritakan bagaimana Sienna dan Nick memendam perasaan dengan cuba menjalani kehidupan seperti biasa. Masih berkawan seperti biasa dan banyak menghabiskan masa bersama.

Ada masanya Sienna bertemu janji bersama lelaki lain, begitu juga Nick. Kedua-duanya sentiasa melabelkan platonik dalam hubungan mereka tanpa masing-masing sedar ia hanya memakan diri.

Ia berlarutan sehingga beberapa tahun hingga kematian bapa Sienna menyedarkan kedua-duanya.

INFO

- Judul: This Is A Love Story

- Penulis: Jessica Thompson

- Penerbit: Hodder & Stoughton Ltd

- Harga: RM35.90

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:27 AM