Oleh Nor Faizah Mohamed


Cinta bukanlah sesuatu yang rumit. Cinta indah bila ia dikongsi bersama, juga bila mende­ngar yang tersayang mengucapkannya di depan mata.

Namun cinta dalam novel ini sengaja diberi impak rumit walaupun secara asasnya ia agak ringkas dan polos.

Strange Weather In Tokyo mengisahkan Tsukiko, wanita awal 40-an yang belum berkahwin, tinggal sendirian dan bekerja di pejabat.

Tsukiko kerap menghabiskan masa minum di bar bagi mengurangkan kesunyian dan kebuntuan yang dialaminya setiap hari.

Dia kemudian bertemu dengan guru sekolah menengahnya, kini dalam lingkungan usia 70-an, hanya dikenali sebagai ‘Sensei’ (guru dalam bahasa Jepun).

Pertemuan tidak diduga itu membuatkan kedua-duanya makin rapat dan banyak menghabiskan masa bersama terutama di bar dan restoran.

Keduanya berkongsi minat yang sama iaitu mencuba hidangan di restoran baru dan boleh dikatakan kebanyakan lokasi makanan popular dikunjungi dua watak ini.

Plot ceritanya kemudian berubah kepada aktiviti dilakukan mereka antaranya merayau di sekitar Tokyo semata-mata untuk melihat kesibukan kota, bertengkar permainan bola lisut selepas tamat perlawanan, bermain pachinko (permainan pinball versi Jepun) dan mendaki gunung berhampiran.

Perlahan-lahan hubungan mereka berkembang kepada perasaan sayang namun masing-masing tidak mampu mengucapkannya terutama selepas Sensei sedar hubungan mereka tiada masa depan berikutan usianya yang makin lanjut.

Namun hubungan cinta mereka lebih bersifat fizikal dengan perhatian atau tindak-tanduk yang dipamerkan kedua-duanya.

Menariknya, novel ini menghimpunkan intipati budaya dan amalan Jepun dengan penceritaan penuh elegan, membabitkan paradoks yang sesekali sukar difahami.

Hiromi Kawakami bagaimanapun berjaya memukau pembacanya dengan pendekatan ringan tetapi masih padat dengan elemen kesusasteraan.

Diterbitkan pertama kali di Jepun pada 2001 dengan tajuk Sensei No Kaban (The Teacher’s Briefcase), ia diterjemahkan kepada Strange Weather In Tokyo lalu dicalonkan untuk Hadiah Kesusasteraan Lelaki Asia 2013.

Strange Weather In Tokyo tidak semata-mata mengenai cinta tetapi novel mengenai dua manusia kesepian yang mencari ketenangan antara satu sama lain.

Tema universal cinta, kesepian dan kehilangan ahli keluarga ditenun bersama lalu ditonjolkan dalam bentuk teks yang pastinya menjadi tarikan bagi penggemar budaya dan makanan Jepun.

INFO

- Judul: Strange Weather In Tokyo

- Penulis: Hiromi Kawakami (terjemahan Allison Markin Powell)

- Penerbit: Portobello Books

- Harga: RM37.90

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 8:52 AM