Vinnie Boland hanyalah lelaki biasa. Bapa tunggal yang bergelut membesarkan seorang anak perempuan remaja bersama anak lelaki yang masih belum faham erti kesedihan ditinggalkan sang ibu lantaran inginkan kebebasan hidup.

Ellen juga wanita biasa. Terperap di rumah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya hingga menyebabkannya kehilangan suami dan anak yang masih dalam kandungan.

Novel ini banyak berkisarkan kehidupan harian Vinnie dan Ellen. Kedua-duanya saling tidak mengenali pada awalnya. Vinnie cumalah pemandu teksi yang sering dinaiki Ellen pada setiap petang Jumaat berikutan wanita itu perlu menghadiri sesi fisioterapi di hospital.

Semuanya berubah apabila Vinnie mengalami serangan panik hingga memaksa Ellen membawa lelaki itu ke hospital. Dengan latar belakang perubatan dan mengendalikan klinik sebelum ditimpa kemalangan, Ellen berusaha membantu Vinnie hinggalah lelaki pertengahan usia 40-an itu mula mengambil berat mengenai keadaan kesihatannya.

Persahabatan yang dijalin makin akrab hingga mencetuskan bibit cinta di antara mereka. Konflik muncul saat isteri Vinnie, Paula kembali ke rumah dengan harapan untuk membina semula keluarga mereka.

Ellen mengambil keputusan mengundur diri dan dalam masa sama dia sendiri masih belum mampu melupakan mendiang suaminya, Neil.

Namun keadaan kembali berubah apabila Paula sekali lagi mengambil keputusan meninggalkan keluarga selepas gagal menambat kembali hati Vinnie.

Secara asasnya nukilan terkini Ciara ini tampak biasa. Sememangnya tema biasa dan normal diangkat sepenuhnya kerana bagi Ciara, kadang-kala yang biasa itu mampu menjadi sesuatu yang luar biasa.

INFO

- Judul: Now That I’ve Found You

- Penulis: Ciara Geraghty

- Penerbit: Hodder & Stoughton

- Harga: RM35.90

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 1:13 PM