Bolehkah kita jatuh cinta dengan orang asing, dengan seseorang yang tidak pernah bersua muka?

Ia persoalan yang timbul sejurus Robyn Sisman membuka naskhah ini dengan kisah hidup dua watak utamanya Suze Wilding dan Llyod Rock­well.

Suze menetap di London sementara Llyod di New York. Kedua-duanya tidak mengenali antara satu sama lain sehingga pada satu musim panas mereka bertukar kediaman dan posisi di tempat kerja.

Suze seorang yang spontan, terburu-buru dalam membuat keputusan dan enggan memberikan komitmen dalam perhubu­ngan.

Llyod pula jejaka rumit yang hanya memikirkan perkara serius, amat berhati-hati dalam tindakannya dan menimbang kemungkinan untuk mengahwini teman wanitanya, Betsy.

Apabila Suze mengetahui plot untuk memusnahkan karier Lloyd di pejabatnya, dua watak ini mula berkomunikasi secara jarak jauh.

Satu demi satu perkara disingkap, bermula de­ngan sasaran di tempat kerja hing­ga momen peribadi yang selama ini cuba di­sembunyikan kedua-dua­nya.

Suze dan Llyod mula tertanya-tanya apa yang akan berlaku jika mereka bertemu dan berkongsi cerita secara realiti.

Komplikasi dan tekanan mula berlaku antara mereka hingga Suze berjaya meyakinkan eksekutif kacak itu untuk bangkit semula memperbaiki karier dan kehidupannya.

Sebaik saja pembaca mula mendalami senario ini, wujud rasa teruja untuk mengetahui apa yang bakal dihidangkan Robyn.

Tidak dinafikan awalnya terbit rasa janggal memikirkan individu berlainan jantina yang tidak dikenali saling berkongsi kisah hidup, namun plotnya diadun dengan baik hingga membuat­kan penulis menyifatkan ia sebagai satu daripada bentuk komunikasi tanpa sempadan yang digunakan secara meluas di seluruh dunia ketika ini.

Benar, nukilan Robyn ini dikategorikan chic-lit (chic-literature atau kesusasteraan wanita) namun penulis sukakan serendi­piti (penemuan sesuatu yang tidak dijang­ka dan bernilai ketika mencari perkara lain) dalam kisah Suze dan Llyod ini.

Chic-lit juga bukan sesuatu yang negatif kerana bagi penulis, Robyn berjaya membuatkan pembacanya leka menghabiskan setiap bab hingga terlupa seketika hiruk-pikuk sekeliling.

INFO:

Judul: Perfect Strangers

Penulis: Robyn Sisman

Penerbit: Penguin Books

Harga: RM32.95

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 9:04 AM