Singapura: Nilai eksport pertanian Malaysia ke Singapura dijangka meningkat berikutan penyusutan ringgit membabitkan faktor nilai pertukaran mata wang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada masa ini nilai eksport buah-buahan dan produk berasaskan pertanian Malaysia ke Singapura adalah sekitar RM300 juta setahun.

“Jumlah itu mewakili 20 peratus daripada nilai eksport keseluruhan pertanian negara yang dianggar bernilai RM4 bilion setahun,” katanya selepas melancarkan sambutan ulang tahun pertama Agrobazaar Malaysia (Singapura) dan kempen Riuh De Agrobazaar, semalam.

Beliau berkata bazar agro itu juga menyumbang kepada peningkatan jualan produk pertanian Malaysia kerana rakyat Singapura boleh mendapat buah-buahan dan hasil berasaskan pertanian Malaysia pada harga berpatutan.

Agrobazaar itu adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengesyorkan republik ini sebagai lokasi terbaik FAMA dalam usaha memperkenalkan buah-buahan dan produk asas tani di peringkat global.

Selain memperkenalkan durian Malaysia termasuk jenis ‘Musang King’, D24, dan IOI, Agrobazaar itu juga menampilkan buah-buahan lain seperti manggis, rambutan, nanas, jambu batu dan pulasan serta produk asas tani keluaran perusahaan kecil dan sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:02 AM