Basri (tiga kiri) bersama Ser Tian Sin (dua kiri) pada seminar di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Salhani Ibrahim
Basri (tiga kiri) bersama Ser Tian Sin (dua kiri) pada seminar di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Salhani Ibrahim
Mohamad Hussin


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mensasarkan nilai pengeksportan buah-buahan segar tempatan meningkat lima hingga 10 peratus iaitu RM1.8 bilion tahun ini berbanding RM1.3 bilion tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA, Basri Jasmo berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pengeksportan produk itu lebih tinggi tetapi bergantung kepada cuaca kerana faktor cuaca mempengaruhi pengeluaran buah-buahan.

Beliau berkata, dalam menyemarakkan program pembangunan eksport, pelbagai inisiatif dijalankan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersama FAMA dalam memastikan industri pengeksportan akan meningkat.

“Selain pengenalan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2011-2020), kerajaan kini sedang mengorak langkah untuk merangka DAN 2.0 bagi tempoh 2021-2030.

“Objektif penumpuannya adalah membangunkan komoditi makanan bernilai tinggi sebagai sumber kekayaan baru kepada negara dan menjamin sekuriti bekalan makanan negara.

“Justeru, pada tahun ini penetapan hala tuju oleh MOA diperkenalkan bagi meningkatkan hasil pertanian dan taraf hidup petani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Prosedur dan Tatacara Pengeksportan Buah-Buahan serta Sayur-Sayuran Segar Ke Pasaran Luar Negara 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Eksport FAMA Ser Tian Sin.

Pada majlis itu, lebih 100 peserta menghadiri seminar itu membabitkan pengeksport buah-buahan dan sayur-sayuran, pengusaha serta pegawai FAMA.

Jasmo berkata, FAMA juga berhasrat mengeksport buah-buahan seperti betik, nangka, nanas, belimbing dan durian ke negara Eropah Timur dan Asia Tengah supaya dapat meningkatkan lagi jumlah nilai pengeksportan produk berkenaan.

“Seminar ini bertujuan meningkatkan eksport negara khususnya dalam produk segar. Ia juga bagi memberi kefahaman mendalam peserta mengenai persijilan yang membabitkan produk segar.

“Kita tidak mahu produk yang kita eksport akan menimbulkan masalah apabila tiba di negara terbabit sekali gus merugikan pengeksport dan pengusaha.

“Justeru, mereka perlu mengikut peraturan yang ditetapkan seperti mempunyai permit eksport, sijil fitosanitasi, pensijilan MyGap dan pelabelan, pembungkusan serta penggredan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:27 PM