JANNA NICK
JANNA NICK
Ramlah Zainal


Meskipun agenda seninya padat dengan pelbagai projek drama dan telefilem sejak awal tahun, Janna Nick nekad memperlahankan rentak Ramadan ini demi keluarga tercinta.

Pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 21, mengakui dia jarang dapat meluangkan masa bersama keluarga kerana sibuk dengan penggambaran.

“Walaupun tinggal bersama keluarga, saya jarang dapat habiskan masa dengan ibu di rumah.

“Malah, ibu pernah menghantar mesej memaklumkan dia sunyi dan merindui saya. Semoga Ramadan kali ini dapat mengeratkan lagi hubungan saya dan ibu. Selain berbuka puasa dan bersahur bersama, saya juga ingin menunaikan solat Tarawih dengannya,” katanya.

Janna yang pernah dikaitkan dengan kontroversi membabitkan pelakon Ruhainies, bagaimanapun bersyukur kerana ibunya sangat memahami rutin kerjanya.

“Ibu tidak pernah bertanya mengenai kontroversi yang dikaitkan dengan saya kebelakangan ini. Dari dulu ibu percayakan anak-anak dan tidak pernah mengongkong.

“Sebagai pelakon, saya bekerja keras untuk membuatkan peminat suka dengan lakonan saya dan ibu adalah insan pertama yang saya mahu bahagiakan hidupnya.

“Saya juga memberikan yang terbaik dalam lakonan kerana ingin membuatkan ibu bangga dengan pencapaian saya,” katanya.

Sisi komedi Janna

Bintang muda berbakat besar ini mengakui dirinya sangat meminati genre komedi. Justeru itu, dia sukar menolak tawaran beraksi dalam telefilem Mek Kelate untuk slot Cerekarama TV3 pada Ramadan ini.

“Salah satu sebab mengapa saya terima tawaran ini adalah ia karya komedi. Saya suka genre komedi kerana ia lebih ringan dan santai malah suasana di lokasi penggambaran pun penuh dengan gelak tawa.

“Bagi saya, karakter turut memberi kesan kepada ‘mood’ orang sekeliling. Kalau saya bawa watak sedih, kru pun terpaksa senyap bagi membolehkan pelakon menjiwai babak,” katanya. Demi menjayakan watak gadis Kelantan, Janna belajar menguasai loghat negeri itu dengan beberapa rakan artis termasuk Issey Fazlisham.

“Jika tidak fasih bertutur dalam loghat Kelantan atau melakukan kesilapan, saya bimbang ia menyebabkan warga Kelantan marah.

“Jadi, sebelum penggambaran bermula saya bertutur dalam loghat ini dengan ramai kawan supaya tidak nampak janggal,” katanya.

Ditanya penampilannya dengan imej berambut panjang, kata Janna, ia bagi memenuhi tuntutan watak drama terbaru lakonannya.

“Saya terpaksa menyesuaikan diri dengan rambut panjang sebelum penggambaran bermula,” katanya.

Janna kini rancak menghabiskan baki penggambaran telefilem istimewa raya, Suami Tanpa Cinta bergandingan dengan pelakon Shukri Yahaya.

Selain telefilem Aku Kau Kita Raya bergandingan dengan Saharul Ridzwan, drama lakonannya, Tragedi Duit Raya bersama Ungku Ismail akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

Dalam perkembangan lain, Janna dipilih sebagai duta kempen Syukur Selalu anjuran Rangkaian Televisyen Media Prima dengan enam lagi selebriti iaitu Fasha Sandha, Uqasha Senrose, Amar Asyraf, Fattah Amin, Hafidz Roshdi dan Raja Afiq.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 9:27 AM