V SHEM (kiri) dan Wee Kiong sebelum berlepas ke Jakarta.
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong sebelum berlepas ke Jakarta.

Kuala Lumpur: Bukan undian tidak memihak kepada beregu negara, tetapi semua pemain yang beraksi di Kejohanan Dunia sememangnya terbaik.

Demikian pandangan ketua jurulatih beregu negara Jeremy Gan ketika diminta mengulas peluang pasangan beregu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada saingan yang berlangsung di Jakarta, Indonesia bermula Sabtu ini.

“Bagi saya undian itu cukup baik sebab semua yang beraksi daripada kalangan terbaik.

“Undian ini normal, lebih-lebih lagi V Shem dan Wee Kiong bukanlah beregu pilihan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Justeru itu, Jeremy menyokong pendapat V Shem yang hanya meletakkan sasaran ke suku akhir, mengambil kira lawan yang bakal ditemui pada peringkat awal.

“Yang penting mereka berdua dapat beraksi dengan baik ketika perlawanan sebenar.

“Malah kami juga berusaha menganalisis corak permainan setiap lawan bakal ditemui,” katanya.

V Shem menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, sasaran ke suku akhir paling realistik untuknya serta Wee Kiong kerana mereka bakal berdepan rintangan sukar sejak pusingan awal lagi.

Mereka akan membuka tirai saingan di Jakarta dengan bertemu pasangan Amerika Syarikat Phillip Chew-Sattawat Pongnairat.

Dijangka mudah melepasi pusingan pertama, V Shem-Wee Kiong akan bertemu beregu handalan Korea Ko Sung Hyun-Shin Baek Choel di pusingan kedua dan andai menang, menanti mereka di pusingan ketiga pula wakil China Liu Xiaolong-Qiu Zihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 10:59 AM