V SHEM (belakang) dan Wee Kiong pamer aksi bertenaga.
V SHEM (belakang) dan Wee Kiong pamer aksi bertenaga.

Jakarta: Beregu tunggal negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong mencipta kejutan terbesar apabila berjaya menewaskan juara bertahan Shin Baek Cheol-Ko Sung Hyun dari Korea Selatan di pusingan kedua Kejohanan Dunia semalam.

Bukan saja mencipta kejutan, malah gandingan negara dilihat mudah menewaskan lawan mereka itu 21-12, 21-15.

Kejayaan itu sekali gus menghadirkan harapan untuk kemungkinan mereka mampu pergi lebih jauh pada saingan kali ini.

“Semua tahu saingan dalam acara beregu memang sengit dan peluang adalah terbuka.

“Memang kami berjaya menang hari ini (semalam) tetapi saya tidak mahu terlalu fikir mengenainya. Yang lebih penting adalah fokus untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

“Mereka mungkin berada dalam situasi tertekan berbanding kami kerana turun sebagai juara bertahan. Strategi permainan mereka nampak tidak menjadi,” kata Wee Kiong.

Pada pusingan ketiga hari ini, V Shem-Wee Kiong bakal bertemu pilihan kesembilan dari China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan.

“Kami belum pernah bertemu mereka. Jika kami dapat mengekalkan rentak seperti hari ini (semalam), saya percaya kami boleh mencatatkan kemenangan sekali lagi,” kata Wee Kiong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 9:19 AM