Kuala Lumpur: Bukan menyerah kalah lebih awal, namun sasaran mara ke suku akhir dianggap realistik buat beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong (depan) pada saingan Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia, pada 10 hingga 16 Ogos ini.

Ini kerana, jelas V Shem, mereka bakal menempuh rintangan berduri sejak pusingan awal lagi apabila dijangka bertemu beregu handalan Korea Selatan Ko Sung Hyun-Shin Baek Choel sekiranya berjaya mara ke pusingan kedua.

Andai Sung Hyun-Baek Choel dapat ditewaskan, mereka sekali lagi berdepan tugas sukar kerana dijangka bertemu beregu China Liu Xiaolong-Qiu Zihan di suku akhir.

“Kalau mengikut undian, saya rasa sasaran realistik adalah ke suku akhir. Harap kami berdua dapat mempamerkan aksi terbaik kerana semakin serasi.

“Kami kemungkinan besar bertemu pasangan Korea (Sung Hyun-Baek Choel) tapi mereka tidak sehebat gandingan pertama (Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong).

“Lepas itu, kami mungkin bertemu pasangan China di pusingan ketiga. Jadi segala-galanya memang sukar sejak dari awal tapi kami tetap mahu melakukan kejutan,” katanya.

V Shem-Wee Kiong bakal membuka tirai saingan di Jakarta dengan bertemu pasangan Amerika Syarikat Phillip Chew-Sattawat Pongnairat.

V Shem berkata, kejayaan mara ke pusingan akhir Grand Prix Terbuka Russia baru-baru ini, sedikit sebanyak meningkatkan keyakinannya serta Wee Kiong untuk mempamer aksi terbaik di Jakarta.

“Walaupun kami sekadar muncul naib juara, ia banyak memberi gambaran positif kepada prestasi semasa kami berdua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 9:05 AM