V SHEM (kiri) dan Wee Kiong tak sabar turun ke gelanggang.
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong tak sabar turun ke gelanggang.
Hamdan Saaid


Rio de Janeiro: Beliau tidak pernah beraksi pada temasya Sukan Olimpik namun jurulatih beregu Jeremy Gan mahu melihat anak didiknya Goh V Shem-Tan Wee Kiong berjaya di Rio.

Sekalipun sedar laluan mereka agak sukar, Jeremy percaya gandingan nombor 13 dunia itu mampu melakar sesuatu dengan persembahan mengagumkan.

“Mereka sudah tidak sabar turun ke gelanggang menghadapi lawan mereka. Saya sudah mempersiapkan mereka sebaik mungkin dan hanya persembahan pada hari pertandingan menjadi penentu,” kata Jeremy.

Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir meraih pingat acara beregu lelaki pada temasya Olimpik 20 tahun lalu apabila Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock menang perak di Atlanta.

V Shem-Wee Kiong perlu sekurang-kurangnya muncul naib juara Kumpulan B di belakang pilihan keempat dari China, Fu Haifeng-Zhang Nan jika mahu layak ke suku akhir.

Mereka berdepan pasangan Jerman, Michael Fuchs-Johannes Schottler bagi memulakan kempen hari ini, Philip Chew-Sattawat Pongnairat (Amerika Syarikat) esok sebelum bertemu beregu China itu, Sabtu ini.

Jika menang dua aksi pertama, mereka sudah pasti mara ke suku akhir.

Sementara itu, jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dijangka tidak menghadapi masalah pada perlawanan pertamanya di peringkat kumpulan apabila menentang pemain Surinam, Soren Opti hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 11:34 AM