Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 27,000 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta termasuk cukai disorokkan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas pada 30 Julai lalu.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Ramli Johari berkata, siasatan awal mendapati rokok berkenaan adalah palsu dan dijual lebih murah daripadapasaran.

Katanya, seorang agen perkapalan yang mengurus pengimportan barang kes berusia 30-an kini ditahan untuk siasatan lanjut.

"Rokok palsu menggunakan jenama Dunhill dan Malboro itu ditemui ketika pemeriksaan rapi di Bay Pemeriksaan Import JKDM di pelabuhan berkenaan, kira-kira jam 12.45 tengah hari 30 Julai lalu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat akuan tidak betul ke atas Barang import yang dibaca bersama Seksyen 26, Akta Zon Bebas 1990. Jika dituduh di mahkamah dan sabit kesalahan hukuman bagi pertuduhan di bawah Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media, di Menara Kastam Johor, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 3:57 PM