RAMLI (dua dari kanan) melihat rokok jenama terkenal bernilai RM3.3 juta dirampas di PTP.
RAMLI (dua dari kanan) melihat rokok jenama terkenal bernilai RM3.3 juta dirampas di PTP.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Taktik penyeludup yang mengisytiharkan muatan kargo mengandungi kertas sisa mampat gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan 27,000 karton rokok bernilai RM3.3 juta termasuk cukai yang disorokkan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada 30 Julai lalu.

Pengarah Kastam Johor Datuk Ramli Johari berkata, kargo berkenaan diisytiharkan kepada pihak berkuasa Zon Bebas sebagai 50 Bales ‘Waste Paper Compressed In Bales’ dari Huangpu, China dan transit di Singapura sebelum memasuki PTP pada 19 Julai lalu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat risikan, seramai lapan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Kastam Johor Bahru membuat pemeriksaan rapi ke atas kontena bernombor MSKU 6555969 berkenaan di Bay Pemeriksaan Import JKDM PTP.

“Hasil pemeriksaan kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, kita mendapati kontena berkenaan turut dimuatkan dengan 5.4 juta rokok bersamaan 27, 000 karton rokok putih yang dipercayai cukai ke atasnya belum dibayar.

“Barang bukti dianggarkan bernilai RM270,000 adalah barangan yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (larangan Mengenai Import) 2012 iaitu memerlukan tanda amaran, kandungan nikotina dan diletakkan setem cukai.

“Pengimportannya memerlukan lesen import mengikut Peraturan 18, Peraturan-peraturan Kastam 1977 yang dikeluarkan JKDM. Cukai dan nilai yang terbabit dianggarkan bernilai kira-kira RM3.3 juta,” katanya pada sidang media, di Menara Kastam Johor, di sini semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati rokok putih berkenaan menggunakan label palsu berjenama Dunhill dan Malboro yang dipercayai untuk pasaran tempatan selain dijual lebih murah berbanding rokok asli.

“Seorang ejen perkapalan berusia 30 an yang mengurus pengimportan barang berkenaan kini ditahan untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat akuan tidak betul ke atas Barang import yang dibaca bersama Seksyen 26, Akta Zon Bebas 1990,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 9:09 AM