KEADAAN kenderaan mangsa yang remuk dalam kemalangan itu.
KEADAAN kenderaan mangsa yang remuk dalam kemalangan itu.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Teluk Intan: Seorang lelaki maut manakala isteri serta tiga anaknya cedera selepas kenderaan Perodua Kancil dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah traktor di Kilometer 14, Jalan Teluk Intan-Chenderong Balai di sini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, mangsa dikenali sebagai Dasril Anshuar, 33, maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu akibat impak kuat rempuhan itu.

Isteri mangsa, Farah wahida Abdullah,33, serta tiga anaknya Muhammad Izz Zharfan,8; Izz Aisyah Khumaera,4; dan Ahmad Izz Thaqeef,1, hanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan awal serta hasil maklumat diberikan saksi kejadian mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian traktor terbabit yang membelok tanpa melihat kenderaan terlebih dahulu.

Katanya, traktor dari arah Chenderong Balai menghala ke Teluk Intan itu dipercayai membelok ke kanan jalan utama tanpa melihat kenderaan datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar traktor berkenaan.

“Polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan beberapa minit selepas itu.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala isteri serta tiga anaknya menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mendapati seorang mangsa tersepit dan menggunakan alatan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 8:29 AM