Kemalangan membabitkan dua   kenderaan di Jalan Teluk Intan-Setiawan.
Kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Teluk Intan-Setiawan.
Farah Suhaidah Othman

Teluk Intan: Seorang maut, seorang lagi parah selepas dua kenderaan dinaiki kedua-duanya bertembung dalam kemalangan di Kilometer 44.5 Jalan Teluk Intan-Sitiawan di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, Ng Kem Loong, 53, yang memandu kereta Honda Accord maut di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan Perodua Alza berusia 35 tahun parah termasuk patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Marzuki Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati pemandu Honda Accord berusia 53 tahun dalam perjalanan dari Sitiawan menghala ke Teluk Intan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza yang berada di laluan itu.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Honda Accord parah dan maut di lokasi kejadian manakala pemandu Perodua Alza patah kaki kanan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan lurus dan cuaca cerah.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 3:29 AM