Oleh Sudirman Mohd Tahir


Terjun ke dalam bidang lakonan tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

Biarpun sepanjang lapan tahun bergelar model sambilan banyak tawaran diterima, namun Idris Khan, 27, tidak pernah terdetik untuk mencuba.

Pembabitannya dalam drama Puteri Gunung Ledang (PGL-Aku Telah Jatuh Cinta) adalah secara tidak sengaja.

Menurut Idris, tawaran daripada pengarah Shuhaimi Lua itu pada mulanya disangkakan PGL versi lama.

“Apabila diberitahu berkenaan watak dan projek terbabit saya terus bersetuju. Saya menyangka ia PGL versi lama. Apabila mula membaca skrip, ternyata ia berbeza. Mahu atau tidak, saya perlu teruskan sebab sudah bersetuju untuk berlakon.

“Tanpa sebarang asas lakonan, saya berlakon seperti diarahkan dan saya banyak belajar di lokasi.

Minggu pertama penggambaran, memang susah sebab berlakon perlu ada teknik betul. Saya pula jenis menghafal skrip, jadi ia kedengaran seperti membaca,” katanya.

Drama lakonannya bersama Ammar Alfian dan Atikah Suhaime itu adalah pengalaman pertama Idris sebagai pelakon.

Ditanya kenapa dia menolak tawaran berlakon sebelum ini, Idris mengatakan dia tidak mahu menunggu lama di lokasi.

“Menjadi model pun ada ketikanya menunggu lama. Tapi berdasarkan pengalaman rakan pelakon lain, di lokasi drama ada ketikanya lebih lama.

“Apabila melalui perkara sama, baru saya faham. Saya belajar terima perubahan itu dan anggap ia sebagai pengalaman baru. Akhirnya, saya sudah biasa,” katanya.

Selepas dua bulan penggambaran, Idris atau nama sebenarnya Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan mengakui semakin meminati bidang lakonan.

Lebih membanggakan, dia kini diberi tanggungjawab menggalas watak utama.

Menafikan pemilihannya bersandarkan paras rupa semata-mata, jejaka ini percaya dengan bakat dimilikinya.

“Walaupun masih baru, saya tetap percaya pada rezeki Allah. Kalau kata saya nak jual rupa, dari dulu lagi saya berlakon. Lagi pun, dalam industri hari ini ramai lagi memiliki rupa paras menarik daripada saya, tapi mungkin belum rezeki mereka.

“Saya yakin, selagi kita mampu menjaga tingkah laku dan hubungan baik dengan orang lain, pasti tidak ada masalah,” katanya.

Idris berkata, setakat ini belum ada pengarah melabelkan lakonannya sebagai ‘kayu’, tetapi dia kerap ditegur kerana mengucap dialog seperti membaca.

“Supaya kelihatan lebih santai dan realistik, mereka banyak mengajar pelbagai teknik.

“Alhamdulillah, apabila masuk lokasi penggambaran lain dengan pengarah sama, mereka memuji lakonan saya sebab sudah ada peningkatan,” katanya.

Selepas PGL (Aku Telah Jatuh Cinta), Idris turut membintangi telefilem Abang Sado Kau Ado yang ditayangkan di TV3 sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Terbaru, dia sedang menjalani penggambaran drama 80 episod berjudul Uda & Dara bersama Zul Ariffin dan Siti Saleha bagi tayangan Astro Mustika.

“Sebelum ini, saya banyak menjayakan watak komedi. Kalau boleh saya mahu mencuba watak dan genre lain. Jujurnya saya sukakan watak mencabar seperti romantik kerana boleh bermain dengan emosi. Saya yakin boleh buat kerana saya memang romantik,” katanya yang turut memasang impian berlakon di samping Fazura.

Diusik andai namanya terkait dengan kontroversi, Idris punya jawapan tersendiri.

“Kalau boleh saya tak nak. Bagaimanapun pada saya, kontroversi itu perlu ada apatah lagi orang baru seperti saya. Namun, jangan pula sampai menjejaskan nama dan kerjaya. Pendek kata, saya bersedia berdepan dengan perkara sebegini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:01 AM