BALQIS selesa bekerjasama dengan pengarah, Pali Yahya.
BALQIS selesa bekerjasama dengan pengarah, Pali Yahya.
Nurul Sabrina Jamali


Disiplin sangat penting buat pelakon, Puteri Balqis, 16, ketika menjayakan mana-mana naskhah drama atau filem.

Balqis yang sudah bergelar pelakon sejak kanak-kanak berkata, ia perkara paling penting wajib dipegang setiap pelakon sama ada yang lama atau baharu.

"Bakat boleh dibentuk melalui latihan, tetapi disiplin perlu disemai dalam jiwa.

"Selain berdisiplin, pelakon juga perlu mempunyai rasa hormat antara satu sama lain kerana sikap itulah yang akan membawa aura positif ketika di lokasi penggambaran," kata pelakon drama bersiri Diva Seroja yang kini ditayangkan di slot Lestary, TV3 itu.

Katanya, semua pelakon memberi kerjasama yang sangat baik dan dia menghargai segala persefahaman yang wujud ketika di lokasi penggambaran.

Menurut Balqis, dia menerima tawaran berlakon dalam Diva Seroja kerana sudah bekerjasama dengan pengarahnya, Pali Yahya sejak kecil.

"Kebanyakan drama yang diarahkan Pali sangat bagus dan kurang tekanan. Ini kerana dari kru teknikal, jurusolek hinggalah 'runner' semuanya memberi komitmen penuh dalam menjayakan drama ini," katanya.

Balqis yang membawa watak Amanda dalam drama itu berkata, mesej yang ingin disampaikan dalam Diva Seroja adalah menghargai dan menghormati persahabatan dan guru-guru.

Katanya, drama ini pastinya ia mengajar penonton untuk membuka minda supaya lebih memahami menghargai zaman persekolahan.

Dalam pada itu, pelakon baru, Harissa Adlynn, 20, teruja apabila diberi peluang berlakon dalam Diva Seroja.

HARISSA seronok berlakon jadi pelajar sekolah.
HARISSA seronok berlakon jadi pelajar sekolah.

Harissa berkata, sebagai pelakon baru, dia akan menerima apa sahaja tawaran yang diberikan.

"Saya tidak pernah berlakon sebagai pelajar sekolah. Jadi, watak ini sangat bagus untuk saya mengasah bakat lakonan saya.

"Lebih menarik, Diva Seroja mempunyai jalan cerita yang mempunyai pengajaran mengenai persahabatan dan menghormati guru," katanya.

Bercerita mengenai watak Maya lakonannya, Harissan berkata, persiapan sebelum memulakan lakonan adalah penting bagi menjayakan drama itu.

"Selepas membaca skrip, saya cuba lakar dan membayangkan latar belakang watak yang saya bawa demi menjiwai emosi sebagai Maya. Saya juga perlu memikirkan gaya penampilan yang sesuai untuk melahirkan imej Maya," katanya.

Menurut Harissa, keserasian dengan pelakon lain dibentuk dengan semula jadi dan tidak perlu berusaha untuk mewujudkan suasana persahabatan itu.

"Walaupun berbeza umur, tetapi kami mempunyai pemikiran dan pemahaman kami yang sama, jadi kami berlakon dalam suasana yang positif selain dapat bertukar idea mengenai cara membuat adegan lebih menarik," katanya.

Selain Balqis dan Harissa, Diva Seroja turut dibintangi Nur Amira Syahira, Amanda Tan, Kashika Selvam, Fasha Sandha, Nafiz Muaz dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 6:46 AM