DIANA akui gugup menjayakan siri popular dari Korea.
DIANA akui gugup menjayakan siri popular dari Korea.
Sudirman Mohd Tahir


Selepas pembabitannya di platform Over-The-Top (OTT) menerusi siri terbitan Viu Original, Ganjil, terbaharu pelakon terkenal Diana Danielle muncul dalam siri She Was Pretty yang di adaptasi dari Korea dengan judul sama.

Versi asal itu dibintangi pelakon terkenal Korea Selatan, Hwang Jung-uem dan Park Seo-joon.

Menurut Diana, She Was Pretty versi Malaysia diolah semula agar bersesuaian dengan penonton di Malaysia selain akui dirinya untuk menjayakan karakter dari drama Korea kesukaan ramai itu.

"Apa saja dari Korea, saya rasa kebanyakan pelakon kita memang berhati-hati. Contohnya bila kita mahu menyanyikan kembali lagu Korea atau apa saja yang berkaitan dengan Korea disebabkan mereka di sana memang memberikan kualiti yang tiada tandingannya.

"Hollywood nak kejar dengan mereka pun susah, apatah lagi industri sekecil kita. Tapi kita perlu mempunyai hasil yang positif dan pada masa sama mencabar orang kita mencapai standard seperti Korea.

"Apabila kita tidak mencuba, kita pun sentiasa berada di dalam zon selesa. Walaupun naskhah ini hanyalah drama romantik komedi, tapi ia adalah romantik komedi yang berbeza. She Was Pretty adalah drama yang disukai ramai, disebabkan itu saya agak gugup untuk menjayakannya. Pada hari pertama penggambaran, saya tidak rasa kaki saya sendiri disebabkan perasaan gugup itu. Tapi saya gembira saya diberikan peluang ini," katanya.

Ditanya sama ada dia berbelanja besar untuk menjayakan watak Nadia dalam siri itu, Diana berpendapat perbelanjaan untuk menjayakan sesebuah karakter tidak sepatutnya dipikul oleh pelakon.

"Saya berasa sepatutnya pihak produksi yang perlu menyediakan dan kita tak sepatutnya membelanjakan wang sendiri dengan banyak untuk produksi yang bukan milik kita. Itu disiplin saya.

"Kalau ia tidak disediakan oleh produksi, saya boleh berbelanja tapi kosnya bukan ditanggung oleh saya. Tapi apa yang saya suka mengenai Viu dan produksinya, mereka memang menyiapkan semuanya. Dan kita tak boleh campur perkara yang tidak dipersetujui oleh Viu.

DIANA kembali menjayakan siri di platform OTT, She Was Pretty.
DIANA kembali menjayakan siri di platform OTT, She Was Pretty.

"Malah pihak Viu juga mahu kita fokus pada lakonan dan kita tak perlu memikirkan elemen yang mengganggu watak kita. Bagi saya, boleh berkongsi mengenai berapa banyak yang dibelanjakan tapi kos itu tidak sepatutnya ditanggung oleh pelakon," katanya.

Berkongsi lanjut, pada usianya sekarang Diana berkata dia lebih cenderung memilih naskhah yang membuatkan dirinya teruja apabila membaca skrip. Disebabkan itu, Diana kini dilihat lebih banyak menjayakan karya terbitan platform OTT.

Namun, menurut Diana tidak bermaksud dia kurang berminat menjayakan naskhah terbitan stesen televisyen.

"Sebagai seorang ibu yang menghargai masa, bila kita mahu menerima sesuatu tawaran pastinya ada beberapa perkara yang kita kena fikirkan. Seperti saya, saya sukakan naskhah yang bila saya baca skrip, saya rasa seperti mahu melompat, baru saya terima.

"Maksudnya bila saya tengok skrip, saya teruja. Saya sudah hilang keterujaan sebab saya sudah lama di dalam industri ini, di mana saya memasuki industri sejak kecil dan saya merasakan susahnya nak cari sesuatu yang mengujakan.

"Saya pernah berlakon telefilem bersama Liyana Jasmay. Kita tahu Liyana mempunyai pemikiran yang kelakar dan skrip dia pun kelakar juga. Saya ingat saya terima sebuah karakter yang diberikan, saya tidak tanya pun bayaran dan di mana sebab bagi saya, saya mahu berseronok apabila bekerja.

"Saya mahu rasa seperti saya bekerja pada usia saya tujuh atau lapan tahun di mana saya berlakon di depan cermin disebabkan perasaan teruja itu. Bagi saya, perkara itu kalau kita tidak jaga, kita akan hilang minat dalam lakonan," katanya.

Siri 16 episod ini diterbitkan oleh Independent Pictures, diarahkan oleh Datuk Yusry Abdul Halim dengan garapan skrip daripada Rafidah Abdullah.

Selain Diana, siri She Was Pretty turut dibintangi oleh Aiman Hakim Ridza, Alvin Chong dan Daniella Sya. Ia disiarkan setiap Khamis, bermula 23 Jun lalu menerusi platform penstriman Viu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 6:00 AM