Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Fitch Ratings agensi penarafan global dilihat berpuas hati dan memberi maklum balas positif terhadap penjelasan diberikan Kementerian Kewangan berhubung ekonomi semasa negara, pelan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang, rasionalisasi fiskal dan lain-lain.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah berkata, kementerian memberikan maklumat telus kepada pihak terbabit, malah berkongsi kerangka kerja jangka sederhana dan langkah mencapai imbangan fiskal menjelang 2020.

“Fitch Ratings akan datang semula dalam tempoh sebulan untuk memaklumkan keputusan mengenai penarafan kredit ke atas Malaysia,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Cradle Seed Ventures Pte Ltd (CSV) di sini, semalam.

Sebelum ini, Ketua Penarafan Fitch Ratings Asia Pasifik, Andrew Colquhon menjangkakan lebih 50 peratus kemungkinan syarikatnya untuk menurunkan taraf kredit Malaysia ekoran akaun semasa Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu.

Sehingga kini, syarikat itu masih memberi penarafan A- kepada Malaysia dan berpendapat taraf Malaysia lebih sesuai diletakkan pada taraf lebih rendah iaitu BBB, namun ia keputusan tidak rasmi kerana penarafan rasmi hanya dilakukan pada suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, Fitch Ratings menggariskan dua perkara menjadi kebimbangan iaitu baki akaun semasa negara yang semakin mengecil dan defisit kekal negara.

Menurutnya, kerajaan menyusun pelbagai pelan termasuk mengukuhkan segmen eksport dan membawa pelaburan langsung asing (FDI) bertujuan menjana aliran modal negara.

“Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) memberi penekanan kepada sektor logistik dengan meningkatkan pengurusan pelabuhan supaya mampu mengendalikan aktiviti eksport secara lebih cekap. Kami berharap mampu mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada kadar lima hingga enam peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Kementerian Kewangan dan wakil Fitch Ratings mengadakan pertemuan yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam untuk melihat dan mendengar sendiri penjelasan mengenai kedudukan ekonomi semasa negara.

Agensi penarafan itu turut dibawa melihat tapak pembinaan Tun Razak Exchange (TRX) serta diberi penerangan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda pada sesi berlainan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:18 AM