Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kelemahan nilai ringgit tidak akan menjejaskan usaha kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi asas negara di mana kerajaan menggariskan beberapa elemen perbelanjaan yang strategik bagi memastikan hasrat terbabit tercapai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kerajaan akan terus fokus kepada penstrukturan ekonomi negara dan mengekalkan kedudukan fiskal serta defisit selain menguruskan hutang negara dengan mengekalkan kedudukan lebihan akaun semasa negara.

“Saya optimis bahawa fokus kepada beberapa aspek ini akan mengembalikan semula kedudukan negara ke landasan yang tepat dalam usaha menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi Kebangsaan kali kedua anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) di sini, semalam.

Nilai ringgit menyusut kepada paras paling rendah dalam tempoh hampir sembilan tahun pada sesi dagangan, semalam selepas data pekerjaan Amerika Syarikat yang kukuh disokong dengan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan yakin kedudukan ringgit dijangka kembali stabil pada masa akan datang berdasarkan beberapa pendekatan yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Saya tidak boleh mengulas mengenai pergerakan mata wang ringgit pada masa ini kerana ia sentiasa berubah dari semasa ke semasa, namun apa paling penting, kami akan terus memberi fokus kepada mengukuhkan asas ekonomi negara,” katanya.

Ketika mengulas mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Abdul Wahid berkata, perkara itu tidak memberi kesan sistemik kepada sistem kewangan negara.

“Sistem kewangan negara adalah stabil dengan bank memiliki modal yang mencukupi dan terdapat tunai mudah di pasaran pada masa ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan baru sahaja mengadakan pertemuan dengan Fitch Ratings dua minggu lalu berikutan hasrat agensi penarafan global itu untuk menurunkan taraf kredit negara berikutan kes hutang yang membabitkan 1MDB.

“Kami berharap pertemuan terbabit mampu memberi manfaat kepada negara dan mengubah tanggapan mereka mengenai ekonomi negara.

“Untuk peringkat global, terdapat beberapa agensi yang melakukan aktiviti penarafan di mana hanya Fitch Ratings sahaja yang memberikan tanggapan negatif. Kami serahkan kepada Fitch Ratings untuk melakukan penilaian dan pada masa sama, kami akan terus mengadakan pertemuan dengan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 10:44 AM