JIMENEZ (kiri) cuba menanduk bola ke gawang Bolivia.
JIMENEZ (kiri) cuba menanduk bola ke gawang Bolivia.
Reuters

Santiago: Skuad Mexico dan Bolivia diejek sebaik keluar dari padang apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama Copa America semalam, membolehkan tuan rumah Chile menduduki tangga teratas Kumpulan A.

Percubaan Bolivia menerusi Ricardo Pedriel terkena tiang dan penyerang Mexico Raul Jimenez sepatutnya menjaringkan gol selepas rehat separuh masa dengan tandukan jarak dekat namun kedua-duanya gagal menyempurnakan kesempatan dimiliki.

Rayuan Mexico untuk mendapatkan penalti juga ditolak selepas Javier Aquino terjatuh diasak Alejandro Pinedo.

Biarpun keputusan seri dianggap adil, ia disambut dengan siulan dan ejekan di Stadium Sausalito, Vina del Mar sebaik wisel penamat.

Mexico tidak pernah menewaskan Bolivia pada Copa America dalam tiga percubaan meskipun pernah menewaskan mereka dalam sembilan pertemuan menerusi kejohanan lain dan perlawanan persahabatan.

Mexico akan menentang Chile di Santiago, awal pagi Selasa ini menakala Bolivia berdepan Ecuador di Valparaiso pada hari sama.

Chile menewaskan Ecuador 2-0 pada perlawanan pembukaan kelmarin.

“Kami sedar Chile baru saja menang dan ia memberikan mereka keyakinan, malah mereka mempunyai pemain berkualiti tetapi begitu juga dengan kami dan kami akan bekerja keras untuk mengalahkan mereka,” kata penyerang Mexico, Jesus Corona.

Selepas dua perlawanan kurang menarik, Copa America dijangka bertambah meriah apabila pasukan pilihan Brazil dan Argentina, selain juara bertahan Uruguay, memulakan aksi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:06 AM