Bandaraya Mexico: Mexico menamakan skuad 23 pemain ke Copa America bulan depan dengan jurulatih Miguel Herrera mengetepikan penyerang Real Madrid, Javier Hernandez dan beberapa pemain berpangkalan di Eropah bagi disenaraikan ke Piala Emas CONCACAF, Julai ini.

Pemain PSV Eindhoven, Andres Guardado, dua pemain FC Porto, Hector Herrera dan Diego Reyes serta pemain adik-beradik Giovani Dos Santos dan Jonathan Dos Santos dari Villarreal antara yang diketepikan namun dijangka bermain pada Piala Emas dari 7 hingga 26 Julai.

Herrera memberikan keutamaan kepada pertandingan CONCACAF kerana kemenangan akan memberi peluang Mexico beraksi pada penentuan play-off menentang Amerika Syarikat untuk memburu tempat ke Piala Konfederasi Russia 2017.

Mexico ahli gabungan CONCACAF namun dijemput bertanding pada Copa America dari 11 Jun hingga 4 Julai di samping Jamaica.

Mereka berada dalam Kumpulan A bersama Chile, Ecuador dan Bolivia.

Mexico turut bermain perlawanan pemanas badan menentang Guatemala, Peru dan Brazil. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:21 AM