Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Industri biomass di negara ini dijangka mengalami pertumbuhan rancak tahun ini berikutan peningkatan pelaburan yang menggalakkan pada tahun lalu iaitu dengan 12 projek biomass diluluskan bernilai RM82.9 juta.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, daripada jumlah itu, pelaburan domestik mencatatkan sebanyak RM71.1 juta manakala pelaburan asing bernilai RM11.8 juta.

Beliau berkata, pelaburan dalam projek biomass yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu juga meningkat berbanding 11 projek yang diluluskan pada 2013 dengan nilai RM54.6 juta.

“Potensi dalam industri biomass sangat besar dan kita percaya dengan harga kompetitif yang ditawarkan, ia dapat menarik lebih ramai pelabur, sekali gus merancakkan pertumbuhan industri ini.

“Biomass juga dijangka menyumbang tambahan sebanyak RM30 bilion kepada jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) terutama penggunaan biomass daripada aktiviti hiliran nilai yang lebih tinggi dalam sektor kelapa sawit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Biomass MIDA dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM Mark Rozario.

Mustapa berkata, projek biomass daripada kilang bahan buangan sawit (POME) itu dapat menghasilkan baja, palet minyak kelapa sawit dan fiber.

Menurutnya, Malaysia juga dijangka mengeluarkan antara 80 hingga 100 juta tan biomass setiap tahun dari 2011 hingga 2020.

“Pembangunan industri biomass akan dijalankan di seluruh negara, namun lokasi yang dilihat paling berpotensi adalah di Sabah dan Sarawak yang sekarang ini masih dalam peringkat kajian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:46 AM