Johor Bahru: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 619 projek berkaitan pembuatan di negara ini antara Januari dan September lalu dengan pelaburan berjumlah RM63.5 bilion.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Sumber) MIDA, N Sangaran berkata, pada 2013, agensi itu meluluskan 787 projek dengan pelaburan berjumlah RM52.1 bilion.

Beliau berkata, di Johor, sebanyak 147 projek dalam sektor pembuatan diluluskan dalam tempoh yang sama dengan nilai pelaburan berjumlah RM20.1 bilion.

“Pada 2013, Johor berada pada kedudukan teratas sebagai penerima pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak RM14.4 bilion membabitkan 197 projek.

“Johor akan terus menjadi negeri tumpuan pelabur pada masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Seminar Industri Teknologi Makanan, di sini, semalam.

Seminar anjuran MIDA, SPRING Singapore, Persekutuan Pembuatan Singapura (SMF) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) itu, dihadiri lebih 200 peserta dalam industri makanan negara ini dan Singapura.

Sangaran berkata, bagi sektor pembuatan makanan, sebanyak 51 projek diluluskan di negara ini dalam tempoh Januari hingga September lalu dengan pelaburan berjumlah RM2 bilion.

Beliau berkata, pada 2013, 77 projek diluluskan di negara ini dengan pelaburan berjumlah RM4.7 bilion dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dijangka mengumumkan jumlah pelaburan keseluruhan yang diterima negara dalam sektor pembuatan pada 28 Februari depan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 9:00 AM