Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Pertumbuhan pelaburan dijangka sederhana pada tahun ini selaras dengan perkembangan ekonomi Malaysia dan global.

Jumlah pelaburan diluluskan yang dicatatkan pada tahun lalu adalah sebanyak RM207.9 bilion dengan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama sebanyak RM141.2 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah itu adalah peningkatan 7.7 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan pelaburan diluluskan RM193 bilion.

“Setakat Februari lalu, jumlah pelaburan diterima untuk sektor pembuatan sebanyak RM18.8 bilion, manakala sektor perkhidmatan pula RM16.5 bilion.

“Kerajaan meletakkan sasaran untuk mencapai jumlah pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan sebanyak RM55 bilion, manakala perkhidmatan pula RM75 bilion,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi pelaburan Malaysia pada 2016 di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kerajaan tidak membuat sebarang sekatan dagangan antara Malaysia dan Korea Utara walaupun berdepan isu pembunuhan lelaki rakyat negara itu yang didakwa mempunyai pertalian dengan pemimpin tertingginya.

Beliau berkata, aktiviti perdagangan yang dilakukan adalah atas inisiatif persendirian dan tidak ada kaitan dengan kerajaan.

“Perdagangan antara syarikat Malaysia dan Korea Utara memang wujud namun jumlahnya kecil.

“Isu pembunuhan yang berlaku itu tidak memberi kesan kepada dagangan dua hala ini kerana ia terpulang kepada syarikat untuk membuat penilaian risiko masing-masing,” katanya.

Setakat ini, tidak ada pelaburan yang diluluskan diterima daripada syarikat Korea Utara di Malaysia yang direkodkan MIDA.

Namun, jumlah dagangan dicatatkan antara kedua-dua negara tahun lalu sebanyak RM18 juta, manakala RM22 juta dicatatkan pada 2015 dengan produk utama yang didagangkan adalah minyak kelapa sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 5:35 AM