ULAR sawa yang ditemui tersangkut di pukat. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
ULAR sawa yang ditemui tersangkut di pukat. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira lima meter yang cuba menyelinap masuk ke dalam reban ayam belanda ditangkap penduduk setempat selepas terperangkap di dalam pukat di Jalan Kota Giam, Jelutong di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada 11.30 pagi apabila ular sawa berkenaan ditemui penduduk, Mohd Iqbal Mohd Mastan, 50, dalam keadaan tersangkut di pukat menangkap ikan yang dipasang di luar reban ayam itu.

Mohd Iqbal berkata, pukat berkenaan dipasang bagi mengelak binatang liar seperti ular, biawak dan anjing masuk ke dalam reban dan penduduk kampung yang dibantu seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Mohd Firdaus Kushal, 24, mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan ular berkenaan.

"Ular berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.

"Kejadian ular sawa menyelinap masuk ke dalam reban sudah beberapa kali termasuk kejadian terbaru dua bulan lalu.

"Dalam kejadian itu, ular sawa sepanjang tiga meter ditemui dalam reban ayam belanda sama dan selepas ditangkap serta perutnya dibelah, kami menemui seekor ayam belanda di dalam perut ular berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 September 2014 @ 8:55 PM