SEEKOR ular sawa yang berada dalam keadaan kekenyangan selepas menelan empat ayam ditangkap di sebuah reban di Kampung Seri Kota. FOTO Ihsan APM
SEEKOR ular sawa yang berada dalam keadaan kekenyangan selepas menelan empat ayam ditangkap di sebuah reban di Kampung Seri Kota. FOTO Ihsan APM
Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Misteri kehilangan ayam di reban milik penduduk terjawab apabila seekor ular sawa seberat 15 kilogram ditemui dalam keadaan kekenyangan selepas menelan empat ayam sebelum ditangkap di Kampung Seri Kota, Air Mawang, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu disedari seorang daripada jiran yang mendengar bunyi bising dari arah reban sebelum memaklumkan kejadian kepada pemiliknya.

Sementara itu, anak saudara pemilik reban, Muhamad Khairul Ramlos, 33, berkata, kejadian itu kali kedua berlaku selepas mendapati ayam milik keluarganya hilang, namun tidak menemui reptilia berkenaan.

"Ayam kami pernah hilang pada Mei lalu, namun ketika itu kami tidak menemui ular. Kali ini jiran memaklumkan mendengar bunyi bising di reban kami, sebelum saya memeriksa dan ternampak seekor ular sawa yang agak besar saiznya.

"Saya terkejut dengan saiznya dan ular itu seperti dalam keadaan kekenyangan dalam reban ayam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Pilah, Leftenan Muda Mohd Loqman Nor Hakim berkata, pihaknya dihubungi orang awam sebelum ke lokasi dan mendapati ular berkenaan masih berada di dalam reban.

"Reptilia seberat 15 kilogram sepanjang 1.5 meter itu dipercayai baru sahaja menelan empat ayam milik penduduk kampung.

"Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap ular sawa itu dengan menggunakan peralatan khas.

"Ular itu akan diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:38 PM