Anggota APM menangkap ular sawa di Kampung Setawar, Kuala Betis. Foto Ramli Ibrahim
Anggota APM menangkap ular sawa di Kampung Setawar, Kuala Betis. Foto Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


MISTERI kehilangan beberapa ayam ternakannya sejak beberapa bulan lalu terjawab selepas penemuan seekor ular sawa sepanjang satu meter berhampiran reban ayam di sebuah rumah di Kampung Setawar, Kuala Betis, Gua Musang, pagi ini.

Ular sawa seberat 1.5 kilogram dan sepanjang satu meter itu ditemui pemilik rumah, Hanisah Hashim, 28, pada 11.30 pagi.

Hanisah berkata, ketika kejadian dia berehat di rumahnya sebelum dikejutkan bunyi ayam di reban.

Katanya, dia kemudian bergegas ke reban ayam dan terkejut menemui ular berlingkar di dalam semak dipercayai sudah menelan seekor ayam.

"Saya kemudian hubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut.

"Sebelum ini, beberapa ayam saya hilang dan saya tidak tolak kemungkinan dimakan ular sama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Gua Musang, hari ini.

Sementara itu, Pegawai APM Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 11.50 pagi sebelum tiga anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik, kita dapati ular itu masih berada dalam semak dan kita mengambil masa 10 minit untuk menangkapnya dengan peralatan khas.

"Reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 4:10 PM