ANGGOTA APM mengeluarkan ular sawa seberat 20 kilogram dari reban ayam milik penduduk di Kampung Jerang. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM mengeluarkan ular sawa seberat 20 kilogram dari reban ayam milik penduduk di Kampung Jerang. FOTO Ihsan APM
Abnor Hamizam Abd Manap


TANDA tanya bunyi bising di dalam reban ayam milik penduduk di Kampung Jerang, Jelebu, terjawab apabila seekor ular sawa seberat lebih 20 kilogram dengan panjang empat meter ditemui, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, reptilia berkenaan dipercayai keluar dari kawasan semak berhampiran dan memasuki reban lalu menelan beberapa ekor ayam.

Pemilik yang terkejut menemui ular berkenaan, segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pegawai APM Jelebu Mohd Shafie Abd Latif berkata, pihaknya yang menerima panggilan penduduk, bergegas ke tempat kejadian dan melihat ular sawa itu di dalam keadaan agresif.

"Anggota APM mengalami kesukaran untuk menangkap ular itu kerana keadaan reban yang sempit. Kita mengambil masa 10 minit sebelum berjaya menangkapnya menggunakan tali jerut," katanya.

Menurutnya, ular sawa berkenaan dibawa ke pejabat APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 2:50 PM