Susunan Norhadiani Baharom


Mengangkat kisah hidup tokoh dan selebriti terkenal ke layar lebar memerlukan kajian terperinci berpandukan fakta sejarah selain sumber maklumat daripada individu terdekat.

Selepas mendapatkan maklumat yang lazimnya mengambil masa yang panjang, proses seterusnya meneliti siapakah aktor atau aktres paling layak membawa watak yang mahu difilemkan itu.

Proses ini sangat rumit kerana bukan mudah mencari pelakon yang mampu membawakan watak individu yang sememangnya wujud. Lebih-lebih lagi individu terbabit seorang legenda dan dikenali di seluruh dunia.

Jelmaan mereka sepertimana watak asal harus benar-benar menyakini penonton.

Sehubungan itu, pengarah harus meneliti pelakon yang memiliki banyak ke­samaan dari segi fizikal, punya karisma dan semestinya berbakat untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Tidak hanya pelakon menentukan kejayaan watak yang dibawa, malah pembabitan keseluruhan produksi, pelakon pembantu berkaliber termasuk sentuhan jurusolek sangat penting.

Paparan RAP hari ini menyenaraikan sebahagian bintang ternama Hollywood yang pernah terbabit dalam penghasilan filem 'biopic' berdasarkan kisah benar individu dalam pelbagai bidang.

Sir Ben Kingsley-Mahatma Gandhi

Gandhi adalah filem biografi mengangkat kisah hidup Mohandas 'Mahatma' Gandhi, pemimpin India yang cukup disegani dunia.

Beliau gigh menentang penjajah Inggeris pada 1948 tanpa menggunakan kekerasan.

Filem arahan Sir Richard Attenborough yang ditayangkan pada 1982 itu diterajui aktor hebat Sir Ben Kingsley sebagai Gandhi.

Hingga hari ini lakonan dan penghayatan Kingsley masih dianggap terbaik dalam sejarah penghasilan filem biografi.

Jelmaan watak Gandhi yang begitu asli, membuatkan beliau dikenang masyarakat India selain turut menerima penghargaan dari kerajaan negara itu.

Filem Gandhi turut mencatat kejayaan gemilang dalam Academy Awards ke-55 pada 1983 apabila membolot lapan anugerah termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Kingsley sendiri diangkat

sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik.

Morgan Freeman-Nelson Mandela

Setakat ini, terdapat lima filem mengisahkan kehidupan tokoh cukup terkenal dunia iaitu pejuang anti-apartheid dan Presiden Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela.

Penghargaan terhadap perjuangan beliau pernah diadaptasi menerusi filem Mandela lakonan Danny Glover pada 1987, Goodbye Bafana (Dennis Haysbert-2007), Winnie Mandela (Terrence Howard-2011) dan terbaru Mandela: Long Walk to Freedom lakonan Idris Elba tahun lalu.

Namun watak tokoh politik terkenal itu yang dibawa aktor berpengalaman Morgan Freeman menerusi filem Invictus pada 2009 paling mendapat perhatian.

Ini kerana 'jelmaan' Morgan sebagai Mandela cukup menjadi.

Filem arahan Clint Eastwood dengan Morgan itu digarap dengan baik apabila mengetengahkan konteks cerita bagaimana Mandela menjadikan sukan sebagai agenda politik beliau untuk perpaduan.

Sir Daniel Day-Lewis-Abraham Lincoln

Keberkesanan penghayatan Sir Daniel Day-Lewis melakonkan watak Presiden Amerika Syarikat ke-16, Abraham Lincoln melayakkan aktor handalan dari Britain itu meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Academy Awards pada 2012.

Filem berjudul Lincoln arahan Steven Spielberg itu me­ngisahkan perjuangan Lincoln dalam memimpin bangsanya keluar dari perang saudara, mempertahankan persatuan bangsa dan menghapuskan amalan hamba abdi.

Namun di saat sisa-sisa terakhir peperangan, beliau mati ditembak.

Noami Watts-Lady Diana

Tahun lalu aktres kelahiran Britain, Naomi Watts, 45, muncul dengan filem berjudul Diana.

Ia mengisahkan kehidupan percintaan puteri kesayangan rakyat Britain itu selepas rumahtangganya dengan Putera Charles hancur.

Filem arahan Oliver Hirschbiegel itu banyak menyentuh hubungan Diana dengan pakar bedah jantung Hasnat Khan selain kehidupan beliau dua tahun sebelum tragedi kemala­ngan yang meragut nyawanya pada 31 Ogos 1997.

Filem itu bagaimanapun mendapat kritikan daripada pelbagai pihak kerana ada fakta yang tepat dan juga sebaliknya.

Angelina Jolie-Gia

Gia yang dibintangi oleh aktres berwajah seksi, Angelina Jolie adalah sebuah filem biografi terbitan HBO pada 1998 yang menceritakan kehidupan model kelahiran Philadelphia iaitu Gia Marie Carangi, individu terkenal pertama meninggal dunia akibat virus HIV.

Sifat dan kecantikan semula jadi dimiliki Gia membuat kerjaya modeling beliau cukup gemilang di penghujung era 1970-an.

Namun kesunyian dan kemurungan yang dialami sejak kematian Wilhelmina membuatnya terjerat dengan ketagihan kokain.

Di saat berjaya mengatasi ketagihannya, Gia disahkan mengidap HIV dan meninggal dunia pada usia 26 tahun.

Filem ini memperlihatkan Angelina Jolie membawa pulang penghargaan Golden Globe sebagai Aktres Terbaik.

Robert Downey Jr-Charlie Chaplin

Pada 1992, nama Robert Downey Jr begitu pantas meledak selepas beraksi cemerlang sebagai Charlie Chaplin dalam filem Chaplin.

Bagi mendapatkan penghayatan yang sempurna, Robert melakukan persiapan seperti belajar bermain biola dan tenis sebagai bukti kesungguhannya itu.

Dia juga mendapatkan khidmat pembantu peribadi bagi membantunya membentuk gerak tubuh sekaligus gaya mirip Charlie Chaplin.

Berkat daripada dedikasinya itu, Robert meraih pencalonan pertamanya di Academy Awards untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada 1993.

Namun, beliau tewas di tangan Al Pacino yang beraksi cemerlang menerusi filem Scent of a Woman.

Denzel Washington-Malcolm X

Dia antara bintang kulit hitam paling berbakat dan berpengaruh di Hollywood.

Bercakap mengenai Denzel Washington, 59, beliau sering menjadi pilihan pengarah untuk membawakan watak dengan tuntutan emosi luar biasa selain sering terbabit dalam produksi filem berkualiti tinggi.

Pada 1992, keupayaan lakonan Denzel diuji apabila diberi kepercayaan menerajui filem Malcolm X arahan Spike Lee.

Malcolm X yang dilahirkan pada 19 Mei 1925 juga dikenali sebagai El-Hajj Malik El-Shabazz iaitu pengasas Muslim Mosque, Inc. dan Pertubuhan Perpaduan Afro-Amerika (Organization of Afro-American Unity).

Beliau juga adalah jurucakap kepada kumpulan Nation of Islam.

Beliau dibunuh pada 12 Februari 1965. Semasa hayatnya, Malcolm X dikenali sebagai seorang ketua gerakan nasionalisme kulit hitam yang terkemuka di Amerika Syarikat.

Helen Mirren-Ratu Elizabeth II

Bagi sesiapa yang pernah menonton filem The Queen, anda pastinya dapat merasakan jelmaan Ratu Elizabeth II dalam aktres Helen Mirren selaku pemain watak itu.

Filem garapan Stephen Frears itu muncul di pawagam pada 2006 iaitu selepas sedekad selepas kematian Puteri Diana.

Jalan ceritanya juga berkisar mengenai kejadian sekitar kematian Diana yang dikatakan mangsa konspirasi keluarga diraja terbabit selain kerajaan Britain yang berusaha menutup satu rahsia besar membabit­kan 'Puteri Di Hati Rakyat' itu.

Ia juga dipercayai mempunyai kaitan dengan agama dan hala tuju baru Diana.

Will Smith-Muhammad Ali

Mencipta nama sebagai pelakon komedi menerusi sitkom The Fresh Prince of Bel-Air, Will Smith membuktikan kemampuan lakonannya tidak terbatas kepada satu genre saja.

Ali, filem biografi arahan Michael Mann yang ditayangkan pada 2001 menyorot kehidupan legenda tinju, Muhammad Ali sekitar 1964 hingga 1974. Ia sekali gus membuktikan Will seorang pelakon yang 'versatile'.

Transformasi daripada seorang yang dikenali dengan aksi lucunya kepada peninju legenda , Will sebagai Ali bukan saja mengagumkan ramai kerana dedikasi lakonannya, tetapi turut mengimbau semula peristiwa pengusiran Ali dari arena tinju, kontroversi beliau memeluk Islam serta pakatan konspirasi bertujuan mencalarkan imej ikon tinju itu.

James Franco-Aron Ralston

Aktor James Franco memperoleh banyak pujian juga penghargaan atas keberkesanan lakonannya menerusi watak Aron Ralston yang cukup memberi inspirasi dan mencetuskan semangat menerusi filem 127 Hours.

Ditayangkan pada 2010, filem yang mengisahkan pengalaman sebenar seorang pendaki gunung bernama Aron Ralston yang terperang­kap selama 127 jam di celah batu sewaktu meneroka sebuah kawasan terpencil di Utah.

Filem ini diarahkan oleh Danny Boyle manakala skor oleh komposer India, A R Rahman.

Colin Firth-King George VI (The King's Speech)

The King's Speech sebuah filem epik mengisahkan Putera Albert yang gagap harus mengatasi masalahnya apabila ditabalkan menjadi raja.

Seorang pakar terapi bernama Lionel Logue ditugaskan untuk melatih Putera Albert mengatasi kegagapannya itu.

Putera Albert kemudian ditabalkan menjadi raja bergelar King George VI dan perlu berucap di hadapan rakyat jelata sewaktu majlis pertabalannya.

Diarahkan Tom Hooper filem dipertontonkan pada 2010 itu antara peranan cukup mencabar buat aktor Colin Firth yang memainkan watak King George VI. Apapun, ia sangat berbaloi apabila Colin menang Aktor Terbaik pada Anugerah Golden Globe 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:00 AM