Aktor Shahid Kapoor yang mebawakan watak jahat dalam filem lakonan terbaru-nya, Haider masih berasakan lakonannya kurang bagus.

"Walaupun saya rasa sudah membuat persediaan yang secukupnya untuk filem Haider, tetapi saya rasa masih banyak kekurangan,"katanya.

Haider adalah filem yang diadaptasi daripada tragedi Hamlet hasil karya William Shakespeare yang diarahkan Vishal Bhardwaj.

Filem itu dirakamkan di Kashmir dan berkisar mengenai seorang lelaki bernama Haider yang ingin membalas dendam terhadap kematian bapanya.

"Filem ini membuatkan anda berasakan seperti tidak memberikan sepenuh jiwa kerana watak Haider sangat rumit. Setiap hari saya berada di set penggambaran, tetapi saya masih berasakan yang belum memberikan yang terbaik.

"Ia membuatkan saya sentiasa mencari seseorang di lokasi untuk bertanyakan mengenai karakter yang dibawa. Saya bertanyakan pendapat daripada pengarah sehinggalah ke jurukamera. Saya bimbang betul jika tidak berjaya 'menjadi' sebagaimana yang digambarkan dalam skrip dan imaginasi pengarah sendiri," katanya.

Menurut Shahid lagi, dia yakin sukar menjiwai watak Haider tanpa kerjasama daripada pengarah dan pelakon lain.

"Susah betul saya nak membuat persediaan untuk menjadi Haider. Bagaimanapun, saya bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada semua yang terbabit dalam filem ini.

"Berlakon dengan pelakon handalan dalam filem ini seperti Tabu, Kay Kay Menon dan Irrfan adalah satu ruang pembelajaran yang amat berguna. Mereka aktor dan aktres yang sangat hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:01 AM