BABAK dalam filem Imaginur.
BABAK dalam filem Imaginur.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Filem Imaginur arahan Nik Amir Mustapha yang kini memasuki minggu keempat tayangan di pawagam tanah air berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM6 juta yang diakui rezeki tidak diduga.

Nik Amir dihubungi berkata, dia tidak pernah mensasarkan filem Imaginur yang menggandingkan lakonan mantap Beto Kusyairy dan Diana Danielle berkenaan akan berjaya meraih jumlah kutipan sebanyak itu dan menerima maklum balas baik daripada penonton.

"Alhamdulillah, ia rezeki Imaginur dan saya amat berterima kasih kepada semua penonton yang sudah menonton karya ini di pawagam. Saya memang tak sangka, filem ini (Imaginur) dapat mengutip sebanyak RM6 juta dan masih ditayangkan lagi di pawagam.

"Sejujurnya memang saya tak sangka filem Imaginur boleh pergi sejauh ini. Apatah lagi, ia (Imaginur) filem ketiga arahan saya selepas 10 tahun 'berehat' seketika mencari idea-idea baharu untuk menyemarakkan industri filem kita," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Nik Amir yang aktif sebagai pengarah 'indie' sebelum ini hadir dengan filem Kil pada 2013 dan Terbaik Dari Langit (2014). Malah, karya Terbaik Dari Langit berjaya menang Filem Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 dan Anugerah Khas Juri di Festival Filem Hainan 2015.

Menurut Nik Amir, apapun dia melihat pencapaian kutipan diraih filem Imaginur sudah begitu besar berikutan hanya ditayangkan di 70 buah pawagam seluruh negara saja. Katanya, jadi wajar untuk mengatakan apa yang diperoleh ini adalah rezeki ditetapkan Allah.

Mengulas juga keserasian lakonan Beto dan Diana yang disukai ramai, Nik Amir berkata, dia membuat pemilihan pelakon tepat yang mana Beto disifatkan sebagai aktor sangat berkaliber untuk segala karekter dibawanya dan Diana pula bijak dalam memainkan watak Nur itu.

"Saya memang yakin dengan bakat lakonan mereka berdua dan berasa pilihan yang tepat apabila skrip dibuat siap sepenuhnya pada 2019. Sebenarnya, skrip Imaginur ini mula saya tulis sejak 2014 lagi, cuma pada 2016 lebih fokus menyiapkannya kerana saya bergabung menulis bersama Redza Minhat.

"Pada 2020, baru dimulakan penggambaran filem ini dan berhenti seketika kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan Covid-19. Apapun, pembikinan filem Imaginur ini sebenarnya sangat lama dan saya bersyukur hasilnya 'menjadi' pada waktu yang tepat," katanya.

Filem Imaginur mula ditayangkan pawagam pada pada 23 Februari lalu dan bergenre Sci-Fi Romantik. I turut dibintangi pelakon lain seperti Nadiya Nisaa, Datuk Afdlin Shauki, Meor Hashim Manaf, Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar dan Pekin Ibrahim.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 8:45 PM